Khamis, 12 November 2015 | 8:41am

Kerja pembersihan tanah runtuh Lebuhraya KL-Karak selesai - ANIH

TANAH runtuh KM52.4 L/raya KL-Karak: Laluan ke Bentong dibuka kepada kenderaan selepas pembersihan jalan selesai 3.15 pagi tadi.- Foto Abdullah Yusof
TANAH runtuh KM52.4 L/raya KL-Karak: Laluan ke Bentong dibuka kepada kenderaan selepas pembersihan jalan selesai 3.15 pagi tadi.- Foto Abdullah Yusof

KUANTAN: Kerja pembersihan di kawasan tanah runtuh di Kilometer 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak selesai jam 3.20 pagi tadi.

Pemegang konsesi lebuh raya itu, Anih Berhad dalam kenyataannya bagaimanapun memaklumkan, laluan kedua-dua hala masih ditutup kepada semua kenderaan sehingga dimaklumkan kelak atas faktor keselamatan.

Kenyataan itu menambah setakat ini, hanya kenderaan yang terkandas antara Selesa Hillhomes dan Plaza Tol Bentong yang dibenarkan melalui lebuh raya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Noor pagi ini mengesahkan jalan lama Gombak-Bentong juga tidak boleh dilalui kerana terdapat tanah runtuh dan pokok tumbang di beberapa lokasi.

"Pengguna jalan raya yang berhajat dari Gombak ke Bentong dinasihatkan berpatah balik dan tidak melalui jalan ini.

"Kerja pembersihan kini giat dijalankan dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Kejadian tanah runtuh berhampiran Lentang-Bukit Tinggi pada jam 6.30 petang semalam menyebabkan sebahagian lebuh raya dari kedua-dua arah tidak boleh dilalui, namun tiada kehilangan nyawa dilaporkan.

Hanya tiga kenderaan persendirian dan sebuah lori angkut terkandas di kawasan itu, namun kesemua pemilik kenderaan berjaya diselamatkan. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X