Jumaat, 13 November 2015 | 10:29am

Peserta BOTR 2015 berlepas ke Tasik Kenyir

TIMBALAN Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan II, Tengku Zaihan Che Ku Ab Rahman (empat dari kiri) ketika majlis pelepasan peserta Boat On The Road 2015 (BOTR 2015) di Balai Berita, Bangsar. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Kira-kira 220 peserta Boat On The Road 2015 (BOTR 2015) berlepas menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD) dari Balai Berita Bangsar menuju ke Pangkalan Gawi, Tasik Kenyir, Terengganu, pagi ini.

Majlis pelepasan peserta program berkenaan yang membabitkan 45 buah 4WD disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan II, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Ab Rahman.

Tengku Zaihan berkata, konsep penganjuran edisi keenam pada tahun ini memberikan kelainan apabila pihak penganjur membenarkan peserta kategori Bottom (House Boat) memancing 24 jam iaitu sebaik saja bot berlabuh hingga keesokannya pertandingan tamat pada jam 11 pagi.

"Pada tahun sebelumnya, peserta hanya dibenarkan memancing hingga jam 7 malam dan bersambung keesokannya pada jam 7 hingga 12 tengah hari," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zaihan berkata, penganjuran BOTR 2015 diharap mampu mempromosi dan menyemarakkan lagi Tahun Melawat Terengganu 2017.

"Kolaborasi dengan BH begitu baik sejak sekian lama dan kita sentiasa terbuka untuk menyemarakkan lagi industri pelancongan negeri Terengganu," katanya.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Badrulhisham Othman; Pengurus Promosi Sekretariat PESONA Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani dan Pengurus Pelancongan dan Pembangunan Tasir Kenyir, Mohd Amin Ahmad.

Laluan perjalanan konvoi sedikit berbeza pada tahun ini apabila peserta terpaksa melalui jarak perjalanan yang agak jauh iaitu melalui pekan Bahau ke Bandar Muadzam seterusnya ke Tasik Kenyir berikutan kejadian tanah runtuh di Kilometer 52.4 dekat susur keluar Lentang-Bukit Tinggi, kelmarin.

BOTR edisi 2015 menjanjikan hadiah lumayan wang tunai keseluruhan berjumlah RM73,800 bersama hadiah iringan lain termasuk perkakasan memancing.

Juara berkumpulan (Kategori Casting) bakal meraih wang tunai RM15,000 dan hadiah iringan lain, naib juara (RM10,000), ketiga (RM5,000) dan keempat (RM2,000). Penganjur turut menyediakan hadiah sagu hati RM500 (pemenang kelima hingga ketujuh) dan RM300 (kelapan hingga ke-10).

Juara Individu (Kategori Bottom) bakal membawa pulang RM8,000 berserta hadiah iringan; naib juara (RM5,000); ketiga (RM3,000) dan keempat (RM1,000), selain menyediakan masing masing hadiah sagu hati RM500 (pemenang kelima hingga ketujuh) dan RM300 (kelapan hingga ke-10).

Berita Harian X