Jumaat, 13 November 2015 | 3:14pm

Hingga 1,000 polis marin di ESSZone

SANDAKAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan hingga 1,000 anggota Pasukan Polis Marin (PPM) di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) menjelang tahun depan. 

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim, berkata jumlah anggota PPM yang bertugas di ESSZONE ketika ini lebih 600 orang. 

Katanya, keutamaan penambahan anggota diberikan ke atas kawasan ESSZone untuk membantu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) memperkukuhkan keselamatan di negeri ini, khususnya perairan. 

"Sekarang kita dalam proses melaksanakan pengambilan dan melatih anggota baharu yang dijangka selesai tahun depan. 

"Ini menunjukkan kesediaan PDRM bekerjasama dengan ESSCom terutama penugasan di ESSZone susulan ancaman keselamatan yang ada," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Penyerahan Bot Ronda Rigid Hull Fender (RHFB) milik PPM dan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, hari ini. 

Yang turut hadir ialah Komander ESSCom, Datuk Abdul Rashid Harun; Komander PPM, Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Aziz Yusof dan Komander Briged Sabah, Senior Asisten Komisioner Zanuddian Samsu Hadi. 

Pada majlis itu, empat bot ronda diserahkan kepada PPM dan PGA untuk meningkatkan keupayaan melaksanakan operasi sekali gus menangani jenayah maritim.

Berita Harian X