Sabtu, 14 November 2015 | 12:28am
IZZATI Khairudin bersama adiknya Nur Atiqah Khairudin ketika menjalani latihan insentif bagi memperolehi lesen sebagai pemandu belon udara panas di Sepanyol, September lalu. - Foto Mikail Ong
IZZATI Khairudin bersama adiknya Nur Atiqah Khairudin perlu membayar yuran 7,000 Euro bagi memperolehi lesen sebagai pemandu belon udara panas di Sepanyol, September lalu. - Foto Mikail Ong
PENGARAH AKA Balloon Sdn Bhd, Izzati Khairudin. - Foto Mikail Ong

2 beradik jadi pemandu belon udara wanita pertama Malaysia


BUKAN mudah untuk meneroka dan menjadi pelopor kepada sukan udara belon udara panas.

Di Malaysia, penerbangan belon udara panas adalah suatu aktiviti yang masih baharu dan lebih dikenali sebagai program bagi tarikan pelancong.

Malah, kerjaya sebagai pemandu belon udara panas juga dianggap 'pelik', berikutan aktiviti sukan itu yang masih belum mendapat tempat di hati rakyat negara ini.

Bagaimanapun, cabaran itu disahut dua beradik, Izzati Khairudin, 28, dan adiknya, Nur Atiqah Khairudin, 26, yang menjadi pemandu belon udara panas wanita pertama di negara ini.

Berjaya memperolehi lesen sebagai pemandu belon udara panas pada September lalu di Sepanyol, Izzati berkata, beliau berasa terpanggil untuk menjadi pemandu belon udara panas selepas menyedari tiada latihan khas berkaitan sukan itu di Malaysia.

"Bukan di sini sahaja, malah kursus untuk menjadi pemandu belon udara panas memang tiada di mana-mana negara Asia. Orang Asia terpaksa mengambilnya di negara Eropah.

IZZATI Khairudin (kanan) bersama adiknya Nur Atiqah Khairudin (kiri) mengendalikan belon udara panas di Sekolah Kebangsaan St Xavier pada sidang media Pesta Belon Udara Panas 2016 di Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

"Mungkin pendedahan mengenai sukan ini masih baru dalam kalangan warga Asia. Siapa tahu mungkin kami akan menjadi tenaga pengajar pertama dari Asia nanti," katanya ketika ditemui BH Plus, baru-baru ini.

Dengan bayaran yuran sebanyak 7,000 Euro atau RM33,035 untuk mengikuti kelas bagi memperolehi lesen sebagai pemandu belon udara panas, Izzati dan Nur Atiqah juga terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri sebanyak RM50,000 setiap seorang untuk menjalani kursus selama sebulan itu.

Katanya, sama seperti lesen pemanduan lain, lesen belon udara panas juga mempunyai beberapa syarat wajib iaitu kelayakan had umur 16 tahun ke atas serta sihat tubuh badan.

"Bukan mudah sebenarnya untuk memperolehi lesen udara panas ini. Kami berdua menjalani latihan intensif yang sangat ketat.

"Di Sepanyol kami diajar untuk sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan. Asas utama yang diajar adalah mengetahui arah angin, cuaca serta kawasan lapang yang sesuai untuk menerbangkan dan menurunkan belon udara panas," katanya.

IZZATI Khairudin bersama adiknya Nur Atiqah Khairudin tidak kekok membuat persiapan untuk menerbangkan belon udara panas di Sekolah Kebangsaan St Xavier pada sidang media Pesta Belon Udara Panas 2016 di Pulau Pinang.- Foto Mikail Ong

Izzati yang juga anak sulung daripada empat beradik, meneruskan legasi perniagaan AKA Ballloon Sdn Bhd (AKA Ballloon); sebuah syarikat perintis perusahaan belon udara panas di negara ini, daripada Allahyarham bapanya yang juga juruterbang belon panas pertama Malaysia, Khairuddin Abdul Rani, sejak tiga tahun lalu.

Beliau berkata, menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan dalam masa yang sama, memiliki lesen sebagai pemandu belon udara panas, menjadi pakej tambah nilai kepada dirinya sendiri.

"Saya bukan sahaja hanya mengendalikan kerja di pejabat, tetapi juga akan lebih mengetahui semua kerja teknikal dan ia memberikan saya kelebihan apabila berhadapan dengan pelanggan," katanya.

Izzati berkata, beliau berazam untuk menjadikan Malaysia sebagai antara lokasi pilihan peminat aktiviti belon udara panas terkenal, setaraf kawasan pelancongan di Cappadocia, Turki.

IZZATI Khairudin (tengah) menerangkan fungsi belon udara panas kepada guru Sekolah Kebangsaan St Xavier pada sidang media Pesta Belon Udara Panas 2016 di Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Katanya, AKA Ballloon juga kini melebarkan sayapnya dalam pengkomersialan perkhidmatan belon udara panas, tanpa menunggu acara festival, menerusi Myballoon Adventure.

"Bermula November ini, di Myballoon Adventure, orang ramai boleh menaiki belon udara panas pada bila-bila masa, selain turut diberikan sijil, sarapan serta bergambar di dalam belon udara panas, seperti yang disertakan di dalam pakej.

"Di Eropah, penggunaan belon udara panas sangat meluas dan terkenal berbanding negara ini. Saya percaya Malaysia juga berpotensi untuk berkembang kerana kita ada kelebihan berbanding negara luar yang kebanyakan ada empat musim menyebabkan penerbangan belon menjadi terhad," katanya.

Berita Harian X