Sabtu, 14 November 2015 | 12:30am
PELAKON, Uqasha Senrose. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
UQASHA Senrose pada pelancaran koleksi hijabnya.
UQASHA hadir dengan imej berhijab sejak tahun lalu. - Foto Munira Abdul Ghani
UQASHA Senrose turut dikenali dengan jenama tudung menggunakan namanya. - Foto Munira Abdul Ghani

Tak logik saya jadi 'call girl' - Uqasha


AKTRES jelita yang menggunakan nama pentas, Uqasha Senrose mengakui kontroversi sering menghimpit dirinya sehingga ada yang beranggapan cerita negatif berhubung dirinya lebih menonjol berbanding bakat seni dimilikinya.

Satu persatu kontroversi menghimpit pelakon drama 'Sebenarnya Saya Isteri Dia' dengan terbaharu, Uqasha atau nama penuhnya, Nik Zaris Uqasha Senrose terpalit dengan kisah kononnya dia terbabit dengan aktiviti pelayan kelas atasan atau 'escort girl'.

Pelakon yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu kelihatan tenang menyusun butir bicara ketika ditemubual BH Plus baru-baru ini, biarpun cerita kurang enak menyelubungi dirinya.

Uqasha menafikan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya kerana beranggapan label dirinya sebagai pelayan kelas atasan dan mengambil najis dadah sebagai tuduhan yang sama sekali tidak berasas.

"Mana mungkin saya menjadi 'call girl' dengan imej bertudung sebegini. Tidak logik rasanya tuduhan yang dilemparkan kepada saya itu kerana sebagai seorang gadis berhijab, semestinya saya ingin menjaga batas dan tingkah laku.

UQASHA Senrose optimis memajukan diri dalam bidang lakonan. - Foto Munira Abdul Ghani

"Apabila perbualan antara saya dan rakan rapat tersebar di laman sosial, ada pihak yang mendakwa ia sebagai kata kunci bagi menggantikan perkataan dadah. Sebenarnya itu adalah privasi saya kerana setiap individu mempunyai pendekatan tersendiri untuk berkomunikasi.

"Semuanya bermula apabila akaun Instagram Miss Kepoh yang memuat naik gambar miliknya yang pantas menjadi viral. Jujur, saya katakan sesiapa saja mungkin menjadi mangsa Miss Kepoh kerana identitinya dirahsiakan.

"Saya dimaklumkan oleh rakan rapat berhubung perkara ini dan tidak terkesan dengan tuduhan yang dilemparkan kerana ia tidak benar sama sekali," katanya.

Biarpun sering terpalit dengan kontroversi, aktres jelita ini dilihat tetap optimis memajukan dirinya dan tidak mengambil pusing setiap cerita buruk yang bakal mencalarkan portfolio kerjaya lakonannya dalam industri seni tanah air.

"Lumrah seorang anak seni tidak akan dapat lari dari dikaitkan dengan kontroversi dan cerita sensasi. Jadi saya memilih untuk menghadapi setiap perkara negatif yang melanda diri dengan tenang.

PELAKON, Uqasha Senrose pada Anugerah Skrin 2015. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Semangat untuk terus mengorak langkah dalam persada seni tempatan tidak akan pernah luntur. Saya tidak akan membiarkan kontroversi negatif mematahkan semangat saya dan bersyukur sentiasa mendapat sokongan padu dari peminat dan keluarga," kata Uqasha.

Tambah Uqasha yang telah berhijab sejak tahun lalu, beliau mahu dilihat sebagai artis yang berkebolehan bukan saja dalam lapangan seni tetapi dalam bidang perniagaan.

Menurut pelakon filem Paku Pontianak itu, idea untuk tampil dengan jenama tudung sendiri tercetus selepas ramai peminat sering bertanyakan hijab yang sering digayakannya di Instagram.

"Saya tidak berniat ingin bersaing dengan selebriti yang terlebih dahulu mengeluarkan produk tudung mereka. Kejayaan mereka memberikan inspirasi kepada saya untuk menyimpan impian untuk menjadi seperti mereka.

"Jenama tudung keluaran saya menawarkan koleksi hijab mampu milik antara RM49 sehingga RM99 sahaja. Walaupun mengikut fesyen terkini, namun saya menitik beratkan gaya yang mengekalkan imej muslimah," katanya.

ANTARA koleksi tudung keluaran Uqasha Senrose.

BIODATA:

  • Uqasha mula menapak dalam bidang seni sebagai model.
  • Pernah mengikat tali pertunangan dengan aktor, Pekin Ibrahim namun kecundang di tengah jalan. Antara pelakon lelaki yang turut dikaitkan dengan Uqasha adalah Zizan Razak, Syafiq Kyle, Sharnaaz Ahmad, Iqram Dinzly dan ramai lagi.
  • Uqasha dipilih sebagai wajah iklan jenama Sunsilk dan tampil dengan jenama tudung sendiri.
  • Radio Gaga, Ampang Medical (NTV7), Lukisan Hati (DVD), Kalau Itu Jodoh Kita, Babyana, Dia Isteri Luar Biasa, Pengambaraan Jason Murad.
Berita Harian X