Sabtu, 14 November 2015 | 12:06pm

Pemancing BOTR mula misi buru Naga Merah


YANG Dipetua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Ibrahim Mohamad (dua dari kiri) bersama Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital Berita Harian, Ahmad Zaini Kamaruzaman (dua dari kanan), Penolong Setiausaha Kerajaan (Pelancongan dan Kebudayaan ) Negeri Terengganu, Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil (kanan) dan Pengurus Pelancongan dan Pembangunan Tasik Kenyir (KETENGAH), Mahdi Amin Ahmad (kiri) melepaskan peserta memancing Boat On The Road 2015 kategori bottom dan casting di Jeti Dataran Kenyir. - Foto Mohd Yusni Ariffin

TASIK KENYIR: Lebih 300 pemancing dari seluruh negara berentap untuk memburu ikan Arapaima Gigas atau Naga Merah bagi merebut hadiah khas wang tunai RM20,000.

Hadiah khas wang tunai itu ditawarkan sempena pertandingan memancing Boat On The Road (BOTR) anjuran bersama kerajaan negeri dan unit Joran Berita Harian di Tasik Kenyir, yang juga tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara bermula pagi ini.

Pelepasan pemancing disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), Ibrahim Mohamad.

Yang turut hadir pada majlis pelepasan itu ialah Pengarang Eksekutif, Berita, Rencana dan Digital BH, Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pengurus Pelancongan dan Pembangunan Tasik Kenyir, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Mahdi Amin Ahmad dan Penolong Setiausaha Kerajaan negeri (Pelancongan dan Kebudayaan), Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil.

Pada pertandingan edisi keenam itu, seramai 135 peserta menyertai kategori dasar (bottom) dan 165 dalam kategori casting.

Selain hadiah khas, wang tunai keseluruhan berjumlah RM73,800 turut disediakan kepada pemancing.

Ahmad Zaini berkata, jumlah penyertaan pada pertandingan BOTR tahun ini meningkat berbanding hanya 230 peserta tahun lalu.

Katanya, sebanyak 17 rumah bot disediakan untuk peserta yang menyertai pertandingan memancing yang berkonsep tangkap dan lepas.

"Selain hadiah wang tunai, pemancing juga berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah, bot gentian kaca selain hamper," katanya.

BOTR turut mendapat kerjasama daripada KETENGAH, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Bhd (ANIH Bhd), Kelab 4x4 Kembara Selangor dan Persatuan Pemancing Malaysia (PeMM).

Turut memberi tajaan ialah Bot Explorer, Saudagar Cafe, Saraglow Skincare, TCE Tackle, Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd dan Nestle (Malaysia) Bhd.

Berita Harian X