Sabtu, 14 November 2015 | 3:54pm

Jangan dengar cerita bukan-bukan di luar sana: Ku Nan

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.- Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan masyarakat supaya jangan mudah terpengaruh dan keliru dengan usaha pihak tertentu memburukkan organisasi atau agensi berteraskan Islam.

Beliau berkata, tindakan itu menunjukkan ada pihak yang tidak senang dengan usaha kerajaan memperkasa institusi berteraskan Islam yang dilaksanakan melalui agensi berkaitan.

Katanya, dalam era ini, dakwaan atau fitnah mudah tersebar menerusi jaringan media sosial dan rakyat perlu bijak menilai dan menapis setiap maklumat yang diterima terutamanya yang berbaur fitnah.

"Contoh terkini ialah mereka menyebarkan dakwaan tentang seorang menteri agama (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom) menggunakan dana hasil sumbangan rakyat atau duit anak yatim untuk perbelanjaan di luar negara.

"Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan Datuk Seri Jamil Khir. Malah beliau sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan fitnah itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Zakat 2015 anjuran Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dataran Putra di sini hari ini.

Tengku Adnan berkata, selaku Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau merasa lega kerana dakwaan itu segera dijawab Jamil Khir beserta penjelasan yang tersusun, sekali gus mampu mengelak rakyat daripada terkeliru dengan dakwaan itu.

Semalam, Jamil Khir dalam kenyataan, menafikan dakwaan beliau menyalahgunakan hasil sumbangan orang ramai bagi membiayai perjalanan ke luar negara dan menyifatkan tuduhan Pengarah NOW (National Oversight and Whistleblowers) Akmal Nasir sebagai kenyataan jahat berupa fitnah serta menyimpang daripada fakta sebenar.

Akmal Nasir dan The Malaysian Insider yang melaporkan kenyataan itu juga digesa menarik balik dakwaan dan fitnah jahat yang dibuat serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

Tengku Adnan berkata sebagaimana urusan pengumpulan dan agihan zakat secara profesional yang dijalankan PPZ-MAIWP, beliau percaya setiap pegawai atau kakitangan agensi berkaitan Islam yang lain juga sedar mengenai tanggungjawab dan amanah terhadap tugasan yang dilakukan.

"Jadi, janganlah dengar cerita yang bukan-bukan di luar sana kerana cerita sebegitu biasanya menunjukkan mereka tidak suka dengan apa yang kita laksanakan," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Tengku Adnan menarik perhatian bahawa walaupun sebuah negara kecil, Malaysia yang ditadbir kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah antara negara yang mempraktikkan pentadbiran berasaskan Islam, antaranya mempelopori konsep perbankan Islam, menubuhkan universiti Islam selain memperkenalkan kaedah pengurusan zakat yang efisien seperti dilaksanakan PPZ.

"Ini semua dilakukan untuk memastikan pentadbiran negara dan pengurusan agama lebih tersusun, sekali gus membantu rakyat daripada mudah dipesongkan oleh fitnah dan tuduhan tidak berasas," katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X