Sabtu, 14 November 2015 | 3:58pm

PBS boleh kembang sayap ke Semenanjung, Sarawak


KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (kanan) menerima cenderahati daripada Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (dua dari kiri) sambil diperhatikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi di Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke- 30 di Dewan SM Kian Kok di Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) kini boleh mengembangkan keanggotaan parti ke Semenanjung dan Sarawak, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini susulan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sudah meluluskan permintaan berkenaan itu berkuat kuasa 3 November lalu.

"Saya tahu pentingnya presiden PBS meminta (kelulusan itu) daripada saya sebagai Menteri Dalam Negeri di mana RoS di bawah kementerian saya.

"Tapi (PBS) mesti terus taat setia kekal dalam Barisan Nasional (BN)," katanya dengan disambut tepukan gemuruh tanda sokongan daripada anggota PBS ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Ke-30 di sini hari ini.

Ahmad Zahid turut menyampaikan surat kelulusan daripada RoS itu bersama-sama sijil kebenaran kepada Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan dasar, Pairin berkata permohonan membuka cawangan dan keanggotaan di Semenanjung dan Sarawak adalah selaras dengan keputusan dibuat ketika Kongres PBS pada tahun 1995.

"Lebih 200,000 rakyat Sabah bekerja di Semenanjung, dan saya percaya langkah ini akan disambut baik oleh rakyat yang ingin bersama-sama dalam perjuangan PBS untuk semua kaum," katanya.

Pairin percaya langkah itu akan menjadi lembaran baharu bagi PBS untuk menyumbang peranan dalam BN dengan lebih efektif bagi menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

-- BERNAMA

108 dibaca
Berita Harian X