Ahad, 15 November 2015 | 1:31pm

47 negara Komanwel sertai sidang cukai di Melaka

MELAKA: Sebanyak 180 peserta daripada 47 negara akan menghadiri Persidangan Teknikal Tahunan Ke-36, Pertubuhan Pentadbiran Cukai Negara-Negara Komanwel (CATA) di sini selama lima hari bermula esok.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyatakan antara negara yang mengambil bahagian dalam persidangan tersebut ialah Australia, Afrika Selatan, Brunei, India, New Zealand, Kanada, Pakistan, Singapura, United Kingdom dan Malaysia.

"Objektif utama CATA mewujudkan forum untuk bertukar pengalaman mengenai pentadbiran percukaian, di samping membincang dan merumus tajuk terpilih berkaitan isu-isu percukaian semasa dalam usaha meningkatkan lagi kualiti kecekapan, kepakaran serta keberkesanan pentadbiran percukaian.

"Antara topik yang akan dibincangkan sepanjang persidangan ini ialah Abuse of Treaties in Base Erosion and Profit Shifting (BEPS); dan Governance and Integrity in Tax Administration," kata LHDN dalam kenyataan di sini, hari ini.

CATA adalah pertubuhan percukaian antarabangsa yang dianggotai oleh pentadbir cukai dari 47 negara Komanwel.

Malaysia diberi penghormatan menjadi penganjur persidangan CATA tahun ini selepas menganjurkan persidangan itu pada tahun 1987 dan 2003. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X