Ahad, 15 November 2015 | 6:20pm
ANTARA peserta kategori casting pada pertandingan memancing BOTR 2015 di Tasik Kenyir. - Foto Aswadi Alias

Keramat Holding 1 juara kategori 'casting'

PASUKAN Keramat Holding 1 (tengah) bersama pasukan Keramat 2 dan pasukan JPS menunjukkan replika cek masing-masing pada majlis penyampaian hadiah kategori casting BOTR 2015 di Jeti Dataran Kenyir, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA BERANG: Pasukan Keramat Holding 1 dari Kuala Lumpur mengungguli kategori 'casting' pada pertandingan memancing Boat On The Road (BOTR) edisi keenam di Tasik Kenyir yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

Pasukan Keramat Holding 1 yang diwakili Mohd Saiffol Rafie dan Mohd Saifuddin Abd Latif yang berjaya menaikkan ikan toman seberat 6.32 kilogram berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000.

Mohd Shafiq Dahlan dan Kamarul Shahid Kamarudin yang mewakili Keramat Holding 2, yang berjaya menaikkan ikan toman seberat 6.05 kg berjaya memenangi hadiah wang tunai RM10,000.

Pasukan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang diwakili Mohd Khairil Nazeri dan Arman Mokhtar pula mendapat tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.

Hadiah dan majlis penutup dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sekretriat PESONA, Datuk Mustafar Khalid; Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital BH, Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), Ibrahim Muhamad dan Pengurus Jualan Lake Kenyir Resort, Mohd Dazril Mohd Darin.

Dalam kategori bottom pula, tempat pertama hingga ketiga diungguli oleh pemancing dari Terengganu.

JUARA kategori bottom, Romzi Abdullah (tengah) memegang replika cek bersama pemenang tempat kedua, Mohd Zaki Mat Zin (kanan) dan ketiga, Khairol Azuan Haron pada majlis penyampaian hadiah BOTR 2015 di Jeti Dataran Kenyir, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Tempat pertama dalam kategori itu dimenangi Romzi Abdullah yang berjaya menaikkan ikan belinda seberat 6.1 kg dan Mohd Zaki Mat Zin serta Khairol Azuan Haron menaikkan toman masing masing seberat 4.19 kg dan 4.06 kg.

Mereka masing masing menerima hadiah wang tunai berjumlah antara RM5,000 dan RM3,000.

Seramai 300 pemancing daripada seluruh negara menyertai BOTR tahun ini.

Berita Harian X