Ahad, 15 November 2015 | 7:01pm
YANG DiPertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Ibrahim Mohamad (dua dari kiri) bersama Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital BH, Ahmad Zaini Kamaruzzaman (dua dari kanan); Penolong Setiausaha Kerajaan (Pelancongan dan Kebudayaan ) Negeri Terengganu, Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil (kanan) dan Pengurus Pelancongan dan Pembangunan Tasik Kenyir (KETENGAH), Mahdi Amin Ahmad (kiri) melepaskan peserta memancing Boat On The Road 2015 kategori bottom dan casting di jeti Dataran Kenyir, kelmarin. - Foto Mohd Yusni Ariffin

BOTR bakal disertai pemancing luar negara tahun depan

PENGERUSI Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat (empat dari kanan) beramah mesra dengan juara kategori casting dan bottom Boat On The Road 2015 pada majlis penyampaian hadiah di jeti Dataran Kenyir, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA BERANG: Video pertandingan memancing Boat On The Road (BOTR) akan dipaparkan melalui laman web BH Online dan diedarkan oleh kerajaan negeri Terengganu bagi menarik penyertaan dari luar negara termasuk China, tahun depan.

Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital BH, Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, BH selaku penganjur yang diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri akan merakamkan setiap aktiviti memancing itu untuk divideokan.

Katanya, rakaman setiap aktiviti termasuk ketika pelepasan konvoi, perjalanan merentasi Pahang untuk ke Tasik Kenyir dan pemancing menaiki rumah bot serta memancing akan dirakamkan.

"Rakaman itu juga akan dimuat naik dalam BH Online.

"Kita juga bercadang untuk mengedarkan video berkenaan ke seluruh negara dalam usaha menarik penyertaan termasuk dari luar negara seperti China," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah pertandingan BOTR di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, di sini, petang ini.

KAWASAN tunggul kayu menjadi kawasan pilihan peserta yang menggunakan teknik casting ketika menyertai BOTR 2015 di Tasik Kenyir. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Majlis penyampaian hadiah dan penutup dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat PESONA, Dato Mustafar Khalid; Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Haki Hasbullah dan wakil Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Ahmad Khomsa Deraman.

Ahmad Zaini berkata, walaupun ia di peringkat cadangan, tetapi BH sudah menerima panggilan daripada beberapa kelab dan persatuan memancing beberapa negara termasuk China.

"Jika perkara itu dapat direalisasikan, Insya-Allah pada BOTR tahun depan, pertandingan akan datang bakal disertai pemancing daripada luar negara," katanya.

Berita Harian X