Isnin, 16 November 2015 | 12:29pm

Lisa Surihani puji Osman Ali

PELAKON, Lisa Surihani pada Anugerah Skrin 2015 di PWTC. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Selepas filem Ombak Rindu arahan Osman Ali yang pernah mencetuskan fenomena, Lisa Surihani sekali lagi berpeluang berlakon di bawah pengarah sama menerusi filem Sinaran.

Sinaran yang diedarkan GSC Movies mula ditayangkan pada 26 November ini dan menerusi filem ini, Lisa buat pertama kali digandingkan dengan pelakon Indonesia, Evan Sanders.

Ternyata watak Shila dalam Sinaran berbeza dengan watak Mila yang dilakonkannya dalam Ombak Rindu.

Kepada BH Online, ibu kepada Yahaira Leanne ini berkongsi sisi ceritanya mengenai Osman Ali dan Evan Sanders.

"Mila dan Shila ternyata memberikan transisi berbeza dalam lakonan saya. Saya rebut peluang ini kerana suka berlakon di bawah Osman Ali ," katanya membuka cerita.

Mengapa Osman Ali lagi? "Banyak sebab kenapa Lisa suka bekerja di bawah arahannya. Sebagai pelakon, dia (Osman) bukan sahaja membiarkan pelakon menerima skrip dan masuk set penggambaran semata-mata," katanya.

Lisa berkata, Osman sangat menekankan pentingnya pelakon menjiwai watak, sama ketika beliau membintangi Ombak Rindu dahulu.

"Malah dia juga tak lokek duduk dekat dengan pelakon untuk mengupas skrip itu dengan lebih lanjut.

"Apabila menerima skrip, dia suka kita sebagai pelakon ini menelusuri graf jalan cerita. Secara tak langsung, dia mahukan pelakonnya mewarnakan watak itu dari awal hingga akhir," katanya.

Beliau berkata, sebagai pengarah Osman bukan sahaja mengarah dan memastikan sudut terbaik, malah cuba memahami seseorang pelakon itu.

"Pernah kadang-kadang dia bertanya soalan rawak mengenai sesuatu untuk dia lebih memahami saya sebagai individu dan pelakon.

"Tak dinafikan dia antara pengarah yang mementingkan 'shot' dan memberi perasaan kepada setiap babak itu. Dia juga sangat terbuka dengan apa sahaja input yang boleh diberikan pelakon," kata isteri kepada Yusry Abdul Halim itu.

Di dalam Sinaran, Lisa juga perlu menari dan ia bukan satu masalah besar buat Lisa.

"Saya ada mempunyai asas tarian balet. Mungkin sedikit sebanyak ia membantu. Tapi sudah lebih 10 tahun saya tinggalkan tarian itu.

"Memang 'berkarat' bakat itu selepas ditinggalkan lama. Saya kena asah balik ilmu tarian itu. Tapi saya bersyukur kerana guru tarian yang membantu kami dalam filem ini sangat arif dalam bidangnya iaitu Zaini Tahir. Dia memang antara penari terbaik dari Singapura.

"Dua minggu sebelum ke set penggambaran filem Sinaran, kami pelakon turut diberi latihan menari. Saya juga turun berat badan ketika penggambaran ini gara-gara tarian," katanya.

Mengenai Evan Sanders pula, Lisa senang dengan pelakon dari Indonesia itu ketika di set penggambaran.

"Dia sangat berbakat dan berpengalaman. Memang sudah banyak drama dilakonkannya. Dia juga seorang penyanyi...kami cepat serasi," kata Pelakon Filem Wanita Terbaik FFM ke-23 (2010) dan FFM ke-26 (2013) untuk filem Lagenda Budak Setan dan Istanbul Aku Datang itu.

Berita Harian X