Isnin, 16 November 2015 | 2:12pm

Banjir di Puncak Alam: Calon SPM lewat duduki peperiksaan

SEBAHAGIAN pelajar, termasuk calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) di dua sekolah di Puncak Alam, Selangor terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda dan lori kecil pagi ini apabila jalan raya utama dinaiki air selepas hujan lebat sejak semalam. - Foto Ihsan Pembaca

SHAH ALAM: Seramai 448 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di dua sekolah menengah di Bandar Puncak Alam di sini, lewat menduduki peperiksaan itu apabila kertas ujian lewat tiba ke sekolah mereka akibat banjir kilat.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama dan SMK Puncak Alam.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Abdul Talib Hamid, berkata peperiksaan mula lewat kerana kertas ujian yang sepatutnya dibawa ke SMK Saujana Utama tiba lewat dari SMK Puncak Alam.

Bagaimanapun, Abdul Talib berkata, semua calon dapat menduduki peperiksaan secara serentak selepas kertas peperiksaan Matematik I juga tiba lewat.

Seramai enam calon dari SMK Puncak Alam dipindahkan untuk menduduki peperiksaan di SMK Saujana Utama.

"Peperiksaan kertas Matematik I yang dijadualkan bermula jam 8 pagi terpaksa dimulakan pada jam 9 dan 9.30 pagi di dua pusat peperiksaan di SMK Saujana Utama manakala peperiksaan di SMK Puncak Alam berjalan seperti dijadualkan kerana bilik kebal berada di sekolah itu," katanya kepada BH.

Ditanya sama ada calon yang terjejas akan ditempatkan di asrama sementara menunggu banjir kilat itu surut, Abdul Talib berkata, pihaknya tidak akan berbuat demikian.

"Bagi memastikan semua calon peperiksaan dapat hadir pada waktu yang dijadualkan, Jabatan Pelajaran Selangor akan meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk membawa lori dan menghantar pelajar yang terjejas, sekiranya banjir tidak surut lagi esok.

"Guru yang terjejas akibat banjir juga sudah diminta mencari tempat tinggal yang berhampiran bagi memudahkan mereka ke sekolah masing-masing.

"Buat masa ini, tiada bantuan asrama disediakan untuk calon peperiksaan," katanya.

Sementara itu, ramai calon peperiksaan yang menetap di kawasan yang terjejas dengan banjir dihantar ke sekolah masing-masing oleh orang ramai dan ibu bapa.

Ada antara mereka dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda serta lori ekoran banyak kawasan dinaiki air sehingga 1.3 meter.

Berita Harian X