Isnin, 16 November 2015 | 4:00pm
 PEMAIN muda, Goh Jin Wei.
PEMAIN muda, Goh Jin Wei.

Jin Wei catat sejarah badminton negara di Peru

KUALA LUMPUR: Pemain muda, Goh Jin Wei mencatat sejarah apabila merangkul kejuaraan perseorangan wanita pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Lima, Peru, awal pagi tadi waktu Malaysia.

Jin Wei, 15, pemain ranking kelima kejohanan berkenaan menewaskan rakan senegara Lee Ying Ying yang tiga tahun lebih tua daripadanya, 21-15, 21-16 dalam tempoh 35 minit.

Ini adalah kali pertama pemain remaja wanita Malaysia memenangi kejohanan itu.

Kejayaan berkenaan melengkapkan tahun cemerlang buat Jin Wei selepas menjadi pemain paling muda beraksi bersama skuad badminton negara pada temasya Sukan SEA Singapura, Jun lalu.

Di Singapura, Jin Wei yang berasal dari Pulau Pinang itu berjaya mara ke peringkat separuh akhir acara perseorangan, selain membantu skuad negara mara ke final acara berpasukan wanita.

Jin Wei, pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Hartamas, di sini mula diserapkan dalam skuad pelapis kebangsaan pada akhir tahun lalu dan dilatih bekas pemain negara yang juga bekas jurulatih perseorangan wanita Indonesia, Wong Tat Meng serta Rony Agustinus.

Kali terakhir Malaysia muncul juara di Kejohanan Remaja Dunia adalah pada 2011 apabila Zulfadli Zulkiffli dan pasangan Nelson Heg Wei Keat/Teo Ee Yi, masing-masing merangkul gelaran perseorangan dan beregu lelaki.

Sementara itu, pemain Taiwan, Lu Chia Hung muncul juara perseorangan lelaki selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menang 17-21, 21-10, 21-7 ke atas Siril Verma dari India dalam masa 50 minit.

KEPUTUSAN:

Perseorangan lelaki: Lu Chia Hung (TPE) mn Siril Verma (IND) 17-21, 21-10, 21-7.

Perseorangan wanita: Goh Jin Wei (MAS) mn Lee Ying Ying (MAS) 21-15, 21-16.

Beregu lelaki: He Jiting/Zheng Siwei (CHN) mn Joel Eipe/Frederick Sogaard Mortensen (DEN) 21-14, 21-16.

Beregu wanita: Chen Qingchen/Jia Yifan (CHN) mn Du Yue/Li Yinhui (CHN) 21-18, 13-21, 21-11.

Beregu campuran: Zheng Jiwei/Chen Qingchen (CHN) mn He Jiting/Du Yue (CHN) 21-19, 21-8.

-- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X