Isnin, 16 November 2015 | 4:51pm

Safiq tidak nafi Malaysia fobia jumpa UAE esok


KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee bersama ketua pasukan Safiq Rahim semasa sidang media sempena perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia menentang UAE di Wisma FAM. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KELANA JAYA: Tanpa peminat atau tidak, masih ada yang perlu dipertahankan skuad Harimau Malaya pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/ Asia 2019 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), esok iaitu maruah beraksi di laman sendiri.

Mengakui ketiadaan penyokong di Stadium Shah Alam itu memberi perbezaan, kapten Malaysia, Safiq Rahim berkata perjuangan perlu diteruskan dengan semangat yang berbeza dan tetap bernada positif.

"Mungkin ada sedikit (perbezaan). Sebelum ini, kita ada penyokong, semangat bila ada penyokong berlainan," kata pemain tengah Johor Darul Ta'zim itu.

"Apapun, kita perlu teruskan perjuangan, teruskan misi. Dan saya harap semangat kami tidak luntur tanpa penyokong.

"Apapun, bermain di laman sendiri, kita ada motivasi tersendiri sebagai pemain kerana ini adalah rumah kita, saya harap kita tidak dibolosi seperti itu dan mahu keputusan yang baik."

Ketika ditanya sama ada pemain negara ketika ini fobia dengan kekalahan gol jaringan yang besar, Safiq tidak menafikannya namun ia turut meningkatkan semangat skuad negara.

"Ketika bertemu UAE (perlawanan pertama), kami tidak dapat beri yang terbaik dan kerana itu kami dibolosi dengan jaringan yang besar.

"Di Palestin, kami bermain dengan baik, rentak yang baik namun tetap dibolosi dengan jaringan besar. Ia buatkan kami semua terkilan dan fobia.

"Apapun, saya percaya semua pemain sudah matang dari segi itu dan tidak mahu perkara seperti itu berlaku."

Pada aksi di Amman, Jordan, Khamis lalu, Malaysia tewas 6-0 kepada Palestin namun paling diingati pastinya kekalahan besar 10-0 kepada UAE di Abu Dhabi, 3 September lalu.

Kekalahan besar seperti itu menyaksikan skuad kebangsaan terus dikecam hebat peminat dan pengkritik bola sepak tanah air namun bagi Safiq, perjuangan perlu diteruskan.

"Kami tidak mahu keputusan yang negatif. Saya percaya semua pemain mahu keputusan yang positif. Kami nak bagi prestasi yang baik untuk pasukan negara dan saya percaya semua ada maruah.

"Ini adalah kerjaya kami, suka tidak suka, kami tidak mahu orang cakap pasal kerjaya kami. Saya dan rakan-rakan akan beri yang terbaik pada perlawanan nanti," katanya.

Berita Harian X