Selasa, 17 November 2015 | 12:04am
BAS elektrik bergerak lancar dan senyap serta tidak mengeluarkan asap yang mengandungi partikel halus yang berbahaya. - Foto Sairien Nafis
BAS elektrik bergerak lancar dan senyap serta tidak mengeluarkan asap yang mengandungi partikel halus yang berbahaya. - Foto Sairien Nafis
MELAKA adalah negeri pertama menggunakan bas elektrik yang beroperasi di sekitar bandar rayanya. - Foto Norfaisal Jahuri
MELAKA adalah negeri pertama menggunakan bas elektrik yang beroperasi di sekitar bandar rayanya. - Foto Norfaisal Jahuri

Bas elektrik makin diterima ramai


SEPERTI diketahui umum, pembebasan gas karbon dioksida yang tinggi boleh menyebabkan kesan Rumah Hijau yang menyumbang kepada pemanasan global. Bagaimanapun, pada 2009, Malaysia sudah berikrar untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon dioksida bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hingga 40 peratus menjelang tahun 2020.

Ketika ini, Malaysia dikatakan sudah berjaya mengurangkan intensiti pelepasan karbon dioksida sebanyak lebih 33 peratus dan berada pada landasan baik untuk mencapai sasaran 40 peratus menjelang tahun 2020. Ia menunjukkan negara sudah melaksanakan pelbagai usaha untuk mencapai pembangunan lestari, termasuk pelepasan tahap rendah dan pada masa sama, menangani kesan akibat perubahan iklim.

Pada masa ini, kerajaan juga menggalakkan orang ramai menggunakan teknologi hijau bagi memelihara alam sekitar dan meminimumkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. Antara teknologi hijau yang diberi penekanan ialah penggunaan kenderaan elektrik sebagai pengangkutan awam dan kenderaan persendirian.

Sistem Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway, sistem pengangkutan bas elektrik yang beroperasi di sekitar Bandar Sunway dan Subang Jaya sejak Jun lalu adalah contoh terbaik usaha kerajaan mengurangkan pencemaran alam sekitar.

SISTEM pengangkutan bas elektrik, Sistem Bas Rapid Transit (BRT) mula beroperasi di sekitar Bandar Sunway dan Subang Jaya sejak Jun lalu. - Foto Aziah Azmee
SISTEM pengangkutan bas elektrik, Sistem Bas Rapid Transit (BRT) mula beroperasi di sekitar Bandar Sunway dan Subang Jaya sejak Jun lalu. - Foto Aziah Azmee

Projek kerjasama awam swasta (PPP) antara Prasarana Malaysia Bhd (PRASARANA) dan Sunway Bhd dengan pembinaan infrastruktur dan sistem membabitkan kos sebanyak RM634 juta itu juga mampu menangani masalah kesesakan serius di kawasan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rapid Bus Sdn Bhd, Zulkifli Mohd Yusoff, berkata BRT Laluan Sunway yang menggunakan laluan khas bertingkat sejauh 5.4 kilometer itu beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Beliau berkata, sistem yang menghubungkan tujuh stesen dari Sunway-Setia Jaya sehingga USJ7 itu mencatat rekod sebagai penyedia perkhidmatan bas elektrik penuh pertama negara serta laluan BRT bertingkat pertama di Asia Tenggara. Sebanyak 15 bas elektrik disediakan dengan setiap bas berkapasiti 67 penumpang dengan kemampuan bergerak pada kelajuan maksimum 80 kilometer sejam.

"Ketika dua bulan pertama perkhidmatan BRT Laluan Sunway diperkenalkan dan disediakan secara percuma, kami mengendalikan kira-kira 12,000 penumpang tetapi jumlahnya menurun kepada 6,000 penumpang sejak bayaran dikenakan mulai 1 Ogos lalu.

"Oleh itu, kami hanya beroperasi dengan menggunakan lapan bas elektrik setiap hari ketika ini mengikut keperluan penumpang," katanya sambil menyatakan setiap bas yang dicaj penuh mampu melakukan perjalanan sejauh 250 kilometer.

Bagaimanapun, Zulkifli berkata, pihaknya percaya jumlah penumpang yang menggunakan sistem BRT Laluan Sunway dijangka meningkat apabila stesen transit aliran ringan (LRT) USJ7 mula dibuka pada pertengahan tahun depan.

BRT Laluan Sunway menggunakan laluan khas bertingkat sejauh 5.4 kilometer dan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari. - Foto Sairien Nafis
BRT Laluan Sunway menggunakan laluan khas bertingkat sejauh 5.4 kilometer dan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari. - Foto Sairien Nafis

"Pada masa ini, BRT Laluan Sunway sudah berintegrasi dengan sistem Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Komuter di stesen Setiajaya. Dengan pembukaan stesen LRT USJ7 pertengahan tahun depan pula, kami yakin mampu menghubungkan penduduk di Bandar Sunway dan Subang Jaya dengan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hanya dalam masa kira-kira 35 minit," katanya.

Zulkifli berkata, sejak menggunakan bas elektrik kira-kira lima bulan lalu, pihaknya berjaya mengurangkan kos penyelenggaraan sehingga 50 peratus berbanding penggunaan bas diesel.

"Selain mesra alam tanpa mengeluarkan sebarang asap, pemandu bas juga mengakui lebih selesa dan kurang letih ketika memandu kerana bas yang beroperasi tanpa enjin itu bergerak dengan lancar, senyap dan kurang gegaran. Bagaimanapun, tidak dinafikan kos membeli bas elektrik lebih tinggi berbanding bas diesel kerana teknologi menggunakan bateri itu masih baharu," katanya.

Beliau berkata, bayaran sebanyak RM5.40 dikenakan untuk destinasi paling jauh dalam laluan berkenaan iaitu antara stesen Setiajaya dan USJ7 dengan hanya mengambil masa selama 16 minit juga berbaloi berbanding menaiki teksi untuk jarak sama dengan bayarannya boleh mencecah RM20 dan mengambil masa lebih lama.

Katanya, kejayaan menggunakan kenderaan elektrik itu turut menarik minat beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bekerjasama dengan bas Rapid.

"Ketika ini, kami sedang berbincang dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menyediakan perkhidmatan bas di kawasan berkenaan dengan kemungkinan menempatkan empat bas elektrik untuk beroperasi di kawasan Petaling Jaya pada pertengahan tahun depan," katanya.

CEO Malaysian Green Technology Corporation, Ahmad Hadri Harris (kiri) dan CEO Rapid Bus Sdn Bhd, Zulkifli Mohd Yusoff bergambar di hadapan bas elektrik. - Foto Aziah Azmee
CEO Malaysian Green Technology Corporation, Ahmad Hadri Harris (kiri) dan CEO Rapid Bus Sdn Bhd, Zulkifli Mohd Yusoff bergambar di hadapan bas elektrik. - Foto Aziah Azmee

Sementara itu, CEO Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia), Ahmad Hadri Harris, berkata pihaknya bangga dengan BRT Laluan Sunway kerana menggunakan bas elektrik.

Beliau berkata, bas digunakan mampu bergerak lancar dan senyap serta tidak mengeluarkan asap yang mengandungi partikel halus yang berbahaya kepada sistem pernafasan dan alam sekitar seperti bas konvensional.

"Oleh itu, kami berterima kasih kepada PRASARANA dan Sunway Bhd kerana memulakan projek kenderaan elektrik ini dan berharap orang ramai menghargainya dengan menyokong sistem pengangkutan awam ini," katanya.

GreenTech Malaysia adalah agensi di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) yang berusaha untuk meningkatkan penggunaan teknologi hijau bagi menjana pertumbuhan sosioekonomi.

Ahmad Hadri berkata, kerajaan sentiasa menggalakkan penggunaan bas elektrik kerana ia mampu mengurangkan kos seperti rawatan kesihatan akibat pencemaran udara.

Beliau berkata, perubahan pengangkutan awam kepada penggunaan LRT dan transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) adalah langkah awal peralihan daripada pengangkutan penggunaan minyak fosil kepada elektrik.

"Malaysia sudah meletakkan sasaran untuk mempunyai 2,000 bas elektrik menjelang tahun 2020. Selain itu, kita juga menyasar sebanyak 100,000 kereta elektrik dan 100,000 motosikal elektrik beroperasi di jalan raya selain pembinaan 125,000 stesen pengecas kenderaan elektrik di negara ini untuk tempoh sama," katanya.

Selain BRT Laluan Sunway yang menggunakan bas elektrik, Melaka adalah negeri pertama menggunakan bas elektrik apabila dua bas elektriknya beroperasi di sekitar bandar raya mulai Ogos lalu dan bakal menerima 38 bas elektrik lagi secara berperingkat menjelang akhir tahun depan.

Perbadanan Putrajaya juga bakal memperkenalkan perkhidmatan bas elektrik untuk sistem pengangkutan awam di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu bermula September tahun depan, selaras dengan aspirasi menjadikan Putrajaya sebagai bandar hijau.

Berita Harian X