Selasa, 17 November 2015 | 4:46pm
YANG Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Timbalan Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat Republik Indonesia Dr. (H.C) Oesman Sapta di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Semangat ASEAN kukuhkan hubungan Malaysia, Indonesia

KUALA LUMPUR: Semangat ASEAN mampu memperkukuhkan hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia menerusi persefahaman dalam pelbagai sektor antara kedua-dua negara.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata apabila wujudnya komuniti ASEAN nanti, Malaysia dan Indonesia dapat menentukan masa depan generasi akan datang menerusi persefahaman yang terjalin.

"Dengan adanya persefahaman itu maka perlu kedua-dua negara, parlimen dengan parlimen, kerajaan dengan kerajaan, rakyat dengan rakyat, kita boleh menyelesaikan apa sahaja masalah secara berjiran," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat Indonesia, Osman Sapta Odang bersama 16 anggota delegasi daripada lima parti iaitu Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Parti Persatuan Pembangunan (PPP), Dewan Perwakilan Daerah (DPD), Golongan Karya dan Parti Nurani Rakyat (HANURA).

Dalam pada itu, Osman ketika ditemui pemberita berkata Indonesia berharap Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung ketika ini akan mencapai kejayaan yang besar dalam mempererat hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia.

-- BERNAMA

Berita Harian X