Selasa, 17 November 2015 | 5:37pm

KDN pandang serius isu dadah cecair vape

TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membuat pemantauan terhadap cecair perisa rokok elektronik (e-rokok) berikutan dakwaan ada cecair itu yang mengandungi dadah.

Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu.

Katanya, walaupun isu cecair e-rokok atau vape itu adalah tanggungjawab Kementerian Kesihatan, namun KDN akan mengambil tindakan jika kandungannya membabitkan dadah.

"KDN terbabit dengan penguatkuasaan, maknanya kalau ada penggunaan dadah berbahaya, ia adalah satu aktiviti haram dan KDN ada kuasa untuk mengambil tindakan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Nur Jazlan berkat,a ketika ini kementerian yang akan mengawal selia sepenuhnya penggunaan bahan vape masih dalam peringkat perbincangan di kabinet.

Beliau berkata, apa yang penting sekarang untuk mencari masalah sebenar bahan itu sebelum menentukan bidang kuasa kementerian yang bersesuaian.

-- BERNAMA

Berita Harian X