Selasa, 17 November 2015 | 6:20pm

`Akulah Balqis' di TV3 mulai esok

AKSI menyayat hati, Nabila Huda dan Puteri Balqis dalam drama Akulah Balqis.

KUALA LUMPUR: Drama `Akulah Balqis' menyaksikan lakonan hebat Puteri Balqis, Nabilah Huda, Aeril Zafril, Nazim Othman dan Nadia Brian selaku watak utama bakal menemui penonton di slot Akasia bermula esok.

Drama 24 episod ini diarahkan oleh Fali Yahya (palie) manakala skrip oleh Erma Fatima.

`Akulah Balqis' bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 7.02 petang menggantikan drama Hello, Mr. Perfect! lakonan Fattah Amin dan Ruhainies yang bakal berakhir hari ini.

`Akulah Balqis' mengisahkan mengenai kanak-kanak bernama Balqis (Puteri Balqis), yang meneruskan kehidupan tanpa bimbingan kedua orang tua yang lalai dengan tanggungjawab untuk membesarkannya.

Gadis seusianya mungkin sedang bermain-main dengan riang tanpa perlu mereka risau memikirkan bagaimana mereka perlu merancang perjalanan untuk meneruskan hidup.

Berlainan dengan Balqis, dia perlu mengorbankan zaman kanak-kanaknya untuk mencorak kehidupannya sendiri, terumbang ambing tanpa bimbingan ibu bapa.

Kedua ibu bapanya, Yamin (Aeril Zafril) dan Seri (Nabila Huda) sangat sibuk mencari pekerjaan selepas syarikat tempat bekerja Yamin jatuh muflis. Seri juga mula bekerja untuk membantu Yamin dan mengabaikan Balqis.

Balqis juga terpaksa berhenti sekolah kerana tiada siapa yang boleh menghantarnya ke sekolah.

Kerana tertekan dengan desakan hidup, Yamin mula terbabit dengan dadah selepas mereka tinggal di rumah kawan baiknya, Zali (Kamal Kamarudin), seorang pemuzik di kelab malam.

Kerana ketagihan dadah, wang yang diperoleh Yamin dengan bekerja sambilan sering tidak mencukupi.

Ketagihan Yamin akhirnya turut mempengaruhi Seri yang kemudiannya menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam Pusat Pemulihan Dadah menyebabkan Balkis hilang tempat bergantung.

Zali pula tidak sanggup untuk menjaga Balqis dan mahu menghantar Balqis ke rumah kebajikan masyarakat.

Balqis melarikan diri dan hidupnya semakin melarat apabila terpaksa merempat di jalanan.

Muncul pula Milda (Nadia Brian), seorang model terkenal yang sering kali bermimpi mengenai Balqis tanpa dia sendiri mengenali anak kecil itu.

Suatu hari, mimpi Milda menjadi nyata apabila dia telah melanggar Balqis sama seperti di dalam mimpinya.

Kerana itu juga, Balqis dibawa pulang oleh Adi (Nazim Othman), suami kepada Milda yang kasihan dengan nasib Balqis.

Pada awalnya, Milda tidak menyenangi kehadiran Balqis dalam keluarga mereka. Berbeza dengan Adi yang menjaga Balqis seperti anaknya sendiri.

Adi merasa senang dengan kehadiran Balqis dan mereka menjadi semakin akrab. Adi memang menginginkan zuriat sendiri tetapi tidak bagi Milda.

Setiap kali Milda dan Adi bertengkar, pasti Balqis akan mencari jalan supaya Adi dan Milda berbaik. Kerana itu juga, hati Milda semakin lembut dengan kebaikan Balqis dan mula menerima Balqis.

Tiba-tiba suatu hari Yamin dan Seri muncul di depan pintu rumah Adi. Milda dan Adi tidak sanggup menyerahkan semula Balqis kepada ibu bapa kandungnya itu.

Adi dan Milda takut kehilangan Balqis dan membuat keputusan untuk melarikan Balqis daripada ditemui oleh ibu bapa kandungnya itu.

Bagaimanakah kesudahan hidup Balqis? Berjayakah Yamin dan Seri menemui Balqis dan menebus kesalahan kerana membiarkan satu-satunya zuriat mereka hidup merana?

Pastikan anda setia mengikuti perjalanan hidup Balqis menerusi drama terbitan Rumah Karya Citra Sdn Bhd ini di slot Akasia hanya di TV3!.

Berita Harian X