Rabu, 18 November 2015 | 10:29am

Putin ikrar buru, hukum pengebom pesawat

PRESIDEN Russia, Vladimir Putin (kanan) diapit oleh Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu, menghadiri mesyuarat pada aktiviti ruang udara tentera Rusia di Syria, ketika melawat Kebangsaan Pusat Kawalan Pertahanan di Moscow. - Foto AP

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin bersumpah untuk memburu sehingga tertangkapnya mereka yang bertanggungjawab dalam meletupkan pesawat penumpang Russia di Mesir, bulan lalu.

Dalam masa yang sama, Putin berjanji akan meningkatkan lagi operasi serangan udara terhadap militan Kumpulan Islam (IS) di Syria, selepas Kremlin menyimpulkan bom sebagai punca nahas pesawat Metrojet Russia yang mengorbankan 224 orang.

Putin mengadakan tentera laut Russia di timur Mediterranean untuk menyelaras operasi di laut dan udara bersama tentera laut Perancis selepas Kremlin menggunakan bom jarak jauh dan peluru berpandunya di Syria.

Russia juga katanya akan meluaskan lagi penggunaan jet penggempurnya kepada 37 pesawat.

"Kami akan memburu di mana saja mereka di planet ini dan menghukum mereka," kata Putin dalam nada sedih yang disiarkan stesen televisyen negara itu.

Agensi perisikan Russia (FSB) semalam mengumumkan wang ganjaran AS$50 juta kepada pemberi maklumat sehingga tertangkapnya suspek pengebom dalam pesawat Russia itu.

Putin, yang tampil memakai sut hitam, terhenti seketika untuk bertafakur sebagai kesedihannya terhadap mangsa tragedi pesawat sebelum memberitahu ketua angkatan tentera dan polis Russia bahawa kejadian berdarah itu paling buruk dalam sejarah moden Russia. - AP

Berita Harian X