Ahad, 5 Oktober 2014 | 11:18am

Aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan lancar

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dilaporkan lancar setakat 9.45 pagi ini berikutan kebanyakan warga kota sudah pulang ke kampung sempena perayaan Aidiladha yang disambut hari ini.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Lebuh Raya PLUS berkata, tiada kesesakan lalu lintas dilaporkan, antaranya di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga tengah hari.

"Bagaimanapun terdapat satu kemalangan kecil dilaporkan pada pukul 8.35 pagi di KM45 dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) menghala ke persimpangan Nilai Utara. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika dihubungi.

Menurut laman Twitter PLUS Expressways Bhd, trafik turut lancar di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Butterworth-Kulim (BKE), Seremban-Port Dickson (SPDH) dan di Jambatan Pulau Pinang.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, trafik turut lancar di kebanyakan lebuhraya bertol di Lembah Klang termasuk di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Pantai Baru (NPE).

"Terdapat satu kemalangan melibatkan motosikal di KM289.2 dari arah Gopeng ke Simpang Pulai dilaporkan kira-kira 9.49 pagi, bagaimanapun tiada lorong terhalang dan trafik lancar," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta www.twitter.com/llminfotrafik.

- BERNAMA

Berita Harian X