Khamis, 19 November 2015 | 12:03am
PELAKON utama filem Sinaran (dari kiri) Lisa Surihani dan Evan Sanders di majlis pratonton filem Sinaran di GSC Pavillion. - Foto Saifullizan Tamadi

Evan Sanders jadi chef, mahu buka restoran di Jerman


DI sebalik kerjaya seninya yang diceburi sebagai pelakon, penyanyi dan pernah menjadi veejay MTV, pelakon kacak dari Indonesia, Evan Sanders sebenarnya turut berbakat di dapur.

Dek kerana bakat dan minatnya itu, pelakon yang mula dikenali di Malaysia menerusi filem Dealova dan kini sedang mempromosikan filem Sinaran itu sudah membuka restoran makanan Indonesia di Jerman sekitar enam tahun lalu sebelum menjualnya. Kini beliau mahu membuka sebuah lagi di negara sama.

Difahamkan, sejak kecil lagi Evan sudah terbiasa masuk ke dapur. Malah ibunya sendiri pernah menguruskan hotel secara kecil-kecilan dan ketika itu, Evan sendiri pernah memasak untuk tetamu hotel.

Maka tidak hairan kecenderungan itu terus dipupuk sehingga kini. Bukan hanya gemar memasak pada waktu senggang, Evan juga seperti kebanyakan manusia lain yang suka masak.

Bertemunya baru-baru ini ketika hadir ke Malaysia untuk mempromosikan filem Sinaran arahan Osman Ali itu, Evan berkongsi sisi lainnya yang tiada kaitan langsung mengenai kerjaya seni.

"Oh ya... memang saya suka memasak. Pendek kata, saya memang chef. Kepakaran saya memang dalam makanan Indonesia. Kalau kita yang tak promosi makanan kebanggaan sendiri, siapa lagi bukan. Restoran diberi nama Warung Bali yang dibuka di Jerman itu bagaimanapun sudah dijual. Kebetulan saya dapat tawaran kerja di bandar lain di Jerman, maka saya ambil keputusan menjualnya.

"Harapnya dalam tiga bulan mendatang, saya harap impian membuka restoran baru di Jerman itu akan jadi kenyataan," katanya membuka bicara ketika pertemuan di GSC Pavilion.

PELAKON utama filem Sinaran (dari kiri) Syarif Sleeq, Lisa Surihani dan Evan Sanders di majlis pratonton filem Sinaran di GSC Pavillion. - Foto Saifullizan Tamadi

Bercerita lanjut mengenai minat makannya pula, Evan cukup bertuah kerana dia tak ada pantang larang dalam soal makanan. Pendek kata, Evan boleh makan apa sahaja tanpa perlu memikirkan bentuk badannya. Seperti mana pelakon lelaki lain yang mementingkan penjagaan badan, Evan juga tak terkecuali.

"Saya paling suka makanan pedas. Saya makan apa sahaja yang dicadangkan teman. Macam di Malaysia, sejurus mendarat dari Singapura... perut saya memang sudah berbunyi. Saya tanya kepada pihak yang menguruskan promosi filem Sinaran di Malaysia, di mana boleh cari makanan sedap. Saya yakin di Malaysia banyak tempat makan yang sedap.

"Saya ini jenis tak kisah makan apa atau di mana sekalipun, janji kebersihan itu dijaga. Kali pertama, saya rasa makan di restoran mamak, Pelita. Aduh! sedap sungguh makanan di situ. Saya juga cuba makan nasi lemak. Tak ketinggalan saya turut dibawa ke restoran Sambal Hijau yang terbaik juga makanannya. Ramai sungguh orang beratur di situ," katanya.

Mengenai cara pemakanannya pula, Evan selesa makan dalam kuantiti sedikit tetapi tidak kerap.

"Saya ini jenis kalau makan tak betul atau teratur akan cepat kurus. Saya ini juga bertuah kerana berat badan susah naik. Tapi seboleh-bolehnya saya nak naikkan lagi dua kilogram. Berat badan saya kini ialah 78 kilogram. Saya mahu naik hingga 80 kilogram. Dengan ketinggian saya 181 sentimeter, saya fikir berat 80 kilogram itu sesuai. Tapi berat sekarang pun ramai yang cakap sudah okey!, " katanya.

PELAKON utama filem Sinaran Evan Sanders di majlis pratonton filem Sinaran di GSC Pavillion. - Foto Saifullizan Tamadi

Teruja menyanyi lagu Datuk Sheila Majid

Mengintai sisi kerjaya seninya, Evan yang pernah membintangi filem Kuntilanak juga cukup teruja mempromosikan filem Sinaran yang menggabungkan karyawan tiga negara dari Malaysia, Indonesia dan Singapura. Menurut Evan, tawaran berlakon filem muzikal itu diterimanya tahun lalu apabila pihak penerbit ke Indonesia untuk menawarkannya watak.

"Oleh kerana ini filem muzikal pertama saya, jadi kenapa saya tidak mencubanya. Ia melengkapkan portfolio seni saya. Menariknya, saya juga dilamar bukan sebagai pelakon tetapi turut perlu menyanyi dua buah lagu untuk filem ini. Menambah keterujaan ialah dua lagu yang dimaksudkan ialah lagu dendangan Datuk Sheila Majid.

"Dua lagi itu tajuknya ialah Antara Anyer dan Jakarta serta lagu Cinta Jangan Kau Pergi. Berlakon itu satu perkara manakala nyanyian itu pula satu hal lain pula. Ia bagaimanapun satu penghormatan buat saya untuk menyanyikan lagu seorang diva yang juga dikenali di Indonesia. Bahkan lagunya juga cukup diminati ramai di Indonesia. Saya gementar juga dengan peluang menyanyi ini kerana takut dihakimi.

"Bimbang juga dengan reaksi penyanyinya sendiri. Tetapi ketika bertemunya di Singapura, dia memuji saya. Itu satu kepuasan buat saya," katanya teruja.

Kerjaya nyanyian Evan sebenarnya datang seiring dengan dunia lakonan. Kali pertama Evan memasuki pasaran muzik arus perdana di Indonesia ialah ketika menjadi rakan duet kepada penyanyi dan komposer, Melly Goeslow menyanyikan lagu Tentang Dia. Lagu berkenaan menjadi runut bunyi dan lagu tema untuk filem judul yang sama yang ditayangkan pada 2005.

"Kalau menyanyi secara tak formal itu, saya juga seperti orang lain yang gemar menyanyi di bilik mandi. Tapi secara rasmi, saya menyanyi selepas menjadi veejay MTV. Nak dijadikan cerita, pengurus saya ketika itu menghantar koleksi nyanyian saya kepada Melly Goeslow. Kebetulan juga ketika itu, Melly mencari rakan duet untuk menyanyikan lagu tema untuk filem Tentang Dia.

PENERBIT Sinaran, Julian Jayaseela (kiri), Kevin Chin (kanan), Pengarah Osman Ali (dua dari kanan) bersama pelakon utama Syarif Sleeq (dua dari kiri), Lisa Surihani (tiga dari kiri) dan Evan Sanders (tiga dari kanan) di majlis pratonton filem Sinaran di GSC Pavillion. - Foto Saifullizan Tamadi

"Rezeki saya apabila Melly menghubungi untuk melakukan ujian vokal di rumahnya. Selepas mendengar suara saya, Melly bersetuju dan kami seterusnya merakamkan lagu Tentang Dia sekitar 2004. Begitulah permulaan kerjaya nyanyian saya. Kalau ditanya mana satu minat saya di antara nyanyian dan lakonan, ia datang seiring. Minat saya ialah menghiburkan orang," katanya.

Kehadirannya ke Malaysia kalau dihitung sudah kali keempat. Kali pertama Evan datang ke Malaysia ketika mempromosikan filem Dealova dan seterusnya ketika filem Kuntilanak. Kali ketiga, Evans datang bercuti tanpa terikat dengan komitmen kerja.

Berita Harian X