Khamis, 19 November 2015 | 5:35pm
MAN Bai dan Datuk Siti Nurhaliza. - Foto ihsan Instagram Datuk Siti Nurhaliza

Artis popular rakam balik lagu Kau Ilhamku


(DARI kiri) Ariel Noah, SonaOne, Afgan Syahreza dan Joe Flizzow. - Foto ihsan Instagram Joe Flizzow

KUALA LUMPUR: Meraikan simbolik kehadiran aplikasi muzik Yonder di negara kita, lagu lama berjudul Kau Ilhamku dendangan Man Bai diberi nafas baharu oleh penyanyi popular dari serata negara termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Yuna, Ariel Noah, Afgan Syahreza, Joe Flizzow dan SonaOne.

Man Bai turut terbabit dalam projek lagu ini yang diterbitkan oleh J-Key dan Russel Curtis di New York, Kuala Lumpur dan Jakarta.

Sidang media mengumumkan kehadiran aplikasi berkenaan yang didatangkan khas oleh Celcom Axiata berlangsung pagi tadi di Garage KL, Hulu Kelang.

Yonder Music yang berpangkalan di New York dihadirkan di Malaysia merupakan aplikasi perkhidmatan muzik digital yang membolehkan penggemar muzik memuat naik trek muzik serta memainkannya dan berkongsi secara percuma dengan sesiapa sahaja di mana-mana.

Man Bai yang ditemui BH Online mengakui cukup berbangga dengan projek nyanyian ini. Ternyata lagu Kau Ilhamku ciptaan Asmin Mudin itu masih segar dimainkan hingga saat ini.

"Saya dihubungi pihak mereka yang berminat untuk memberi nafas baharu kepada lagu Kau Ilhamku sekitar dua bulan lalu. Pihak mereka sukakan melodi ini. Seterusnya saya bersetuju selagi mereka tidak menukar melodi asal lagu ini. Lebih istimewa ia turut membabitkan artis popular tanah air dan luar negara.

"Saya merakamkan bahagian saya pada tiga minggu lalu. Sejujurnya saya okey dengan nafas baharu yang diberikan penerbit terutama untuk peringkat Asia dan luar negara. Cuma kalau di negara kita, saya selesa lagu ini dalam format asal," kata Man Bai.

Siti pula memaklumkan kerjasama ini berlangsung pada dua bulan lalu.

"Apabila semua dipersetujui, rakaman bahagian Siti dilakukan pada bulan Oktober. Asalnya Siti menyanyikan keseluruhan lagu Kau Ilhamku dengan susunan muzik baharu. Tetapi ia akhirnya bahagian mana yang membabitkan Siti melagukan lagu berkenaan ditentukan pihak penerbit," kata Siti.

Sementara itu, Jaclyn Victor berbesar hati kerana terbabit sama dipilih menyanyikan lagu berkenaan.

"Membikin semula lagu itu dengan rentak baharu, saya sangat teruja. Di tambah dengan deretan artis yang terbabit, saya juga tumpang bangga," katanya.

Pada sidang media, turut hadir ialah Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Celcom Axiata Berhad, Zalman Eefendny Zainal Abidin, Adam Kidron (Ketua Pegawai Operasi dan Pengasas Yonder Music), Datuk Sri Shazalli Ramly (Ketua Pegawai Operasi Celcom Axiata Berhad, artis yang terbabit dalam projek nyanyian dan komposer. Untuk maklumat lanjut boleh layari, www.yondermusic.com

Berita Harian X