Khamis, 19 November 2015 | 5:52pm

Terbitan sukuk di Malaysia akan meningkat

KETUA Pendapatan Tetap dan Sukuk Malaysia, Franklin Templeton Investments, Nor Hanifah Hashim.

KUALA LUMPUR: Terbitan sukuk di Malaysia dijangka meningkat pada suku akan datang atau suku pertama tahun depan, kata Ketua Pendapatan Tetap dan Sukuk Malaysia, Franklin Templeton Investments, Nor Hanifah Hashim.

Beliau berkata, pada 2015, tawaran global dalam pasaran sukuk dijangka rendah, sebahagiannya disebabkan dasar Bank Negara Malaysia tidak menerbitkan sukuk pada awal tahun ini.

"Memandangkan terdapat keperluan infrastruktur yang perlu dipenuhi, kami lihat banyak terbitan sejak Oktober dan November.

"Pada masa akan datang ini, kita kemungkinan akan melihat lebih banyak terbitan berbanding suku ketiga," katanya selepas pelancaran Dana Sukuk Franklin Malaysia, dana runcit syariah pertama syarikat itu, di sini, hari ini.

Dana yang diuruskan pasukan pelaburan pendapatan tetap tempatan itu boleh melabur sekurang-kurangnya 70 peratus daripada asetnya dalam sukuk denominasi ringgit dan hingga 20 peratus dalam terbitan instrumen Islam denominasi bukan ringgit di luar Malaysia.

Nor Hanifah berkata, pasaran sukuk tempatan menawarkan banyak peluang dan kini ia mempunyai kertas sukuk yang lebih luas untuk pelabur membuat pilihan.

"Terdapat peningkatan jumlah penerbit asing berkualiti tinggi mengambil peluang dalam pasaran sukuk denominasi ringgit di seluruh dunia seperti Indonesia, Eropah dan Asia Barat, mewakili sektor yang berbeza dalam ekonomi, seperti perladangan, institusi kewangan dan pembinaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Negara (Malaysia) Franklin Templeton Investments, Sandeep Singh, berkata pelancaran dana itu adalah tepat pada masanya memandangkan konservatisme semakin meningkat dalam kalangan pelabur di Malaysia.

Katanya, berdasarkan hasil dapatan Kajian Sentimen Pelabur Global Franklin Templeton 2015, 71 peratus daripada responden Malaysia lebih berminat untuk mengamalkan strategi pelaburan yang lebih konservatif pada 2015.

Di Malaysia, Franklin Templeton GSC Asset Management Sdn Bhd menguasai 9.21 peratus perkongsian pasaran dalam pasaran institusi syarikat manakala aset syariah globalnya sebanyak AS$1.4 bilion.

Pelaburan awal minimum untuk Kelas A (MYR) Dana Suku Franklin Malaysia adalah RM1,000. - BERNAMA

Berita Harian X