Jumaat, 20 November 2015 | 12:03am
SITI Farah Azwin Abd Khalid (dua dari kiri) ketika melayan pelanggan di Life Care Centre. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Keunikan klinik, spa kecantikan bawah satu bumbung


KECANTIKAN dan kesihatan seharusnya seiring, malangnya sering kali kita dapati ramai yang masih mengabaikan aspek penjagaan kesihatan diri.

Menyedari perkara itu, ia memberi ilham kepada pasangan ibu dan anak, Dr Wan Julia Sham Ariffin, 53, dan Siti Farah Azwin Abd Khalid, 26, untuk menawarkan khidmat nasihat serta bimbingan mengenai kecantikan dan kesihatan di bawah satu bumbung.

Kelebihannya sebagai doktor perubatan yang memiliki kepakaran dalam bidang antipenuaan dan estetik, menjadi titik tolak kepada Dr Wan Julia untuk mewujudkan CitySkin MediSpa yang ditubuhkan pada tahun 2012, diikuti dengan Hair Rich World Integrated Trichology Center pada tahun ini.

Gabungan klinik dan spa

Medispa yang terletak di One Ampang Avenue Business Centre ini adalah gabungan klinik dan spa untuk mereka yang bukan saja mementingkan kejelitaan dan penampilan wajah, tetap juga mahu memastikan diri sentiasa sihat luaran serta dalaman.

"Masih ramai masyarakat kita yang tidak faham kepentingan gabungan klinik dan spa ini memandangkan kesedaran mereka terhadap aspek penjagaan kesihatan masih lagi kurang.

"Sedangkan, kedua-duanya adalah saling berkait rapat kerana tanpa penjagaan kesihatan yang sempurna, ia pasti akan menggugat kecantikan luaran yang lain," katanya ketika ditemu bual dengan Famili, baru-baru ini.

Dr Wan Julia berkata, gabungan dua bidang di bawah satu bumbung itu menjadikan khidmat kesihatan dan kecantikan yang ditawarkan lebih berkesan serta menyeluruh.

"Sebagai seorang Islam juga, saya berasa bertanggungjawab untuk menyediakan sebuah klinik dan pusat kecantikan yang bukan saja selesa, tetapi mematuhi amalan syariat Islam terutama bagi golongan wanita dan lelaki.

"Tambahan pula permintaan untuk khidmat seperti ini semakin mendapat permintaan tinggi," katanya.


SITI Farah Azwin Abd Khalid (kanan) bersama ibu, Dr Wan Julia Sham Ariffin. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Pakar bertauliah

Dr Wan Julia berkata, sebagai antara doktor Melayu pertama yang menerima pentauliahan dalam bidang perubatan antipenuaan dan estetik dari Amerika Syarikat, beliau mahu masyarakat didedahkan secara lebih mendalam mengenai kaitan antara hormon dalam tubuh manusia dengan kesihatan yang secara tidak langsung mempengaruhi kehidupan seharian kita.

"Proses kemerosotan kesihatan boleh mengakibatkan penurunan fungsi badan. Oleh itu, saya yakin usaha murni untuk mendidik masyarakat ini akan semakin diterima pada masa depan," katanya.

Beliau berkata, ketika kerancakan wanita yang lebih mengutamakan kecantikan luaran mereka, ramai yang tidak mengambil tahu bahawa ketidakseimbangan hormon boleh menjejaskan kesihatan mereka.

Katanya, keadaan ini berlaku akibat peningkatan usia, pemakanan tidak sihat, tidak bersenam, pencemaran alam sekitar dan banyak faktor lain.

"Jika tidak dirawat akan mengakibatkan masalah pertumbuhan sel yang menyebabkan perkara seperti keguguran rambut sehingga boleh menjejaskan kehidupan seharian kita.

"Keletihan, kemurungan, darah tinggi, kegemukan, insomnia, kelesuan, keguguran rambut, migrain dan pusingan haid yang tidak teratur ini antara petanda kepada ketidakseimbangan hormon kita tetapi tidak ramai dalam kalangan kita yang menyedari puncanya," katanya.


KETUA Pegawai Eksekutif City Skin MediSpa, Siti Farah Azwin Abd Khalid bersama produk Hair Rich di Life Care Centre. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Minat mendalam

Sementara itu, bagi Siti Farah, minat yang mendalam dalam bidang rawatan kecantikan membuatkan beliau memutuskan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Kesihatan dan Nutrisi dari Plaskett International Collage, London.

Tidak cukup dengan itu, beliau yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan dari sebuah universiti swasta tempatan ini turut mengambil diploma dalam Kesihatan dan Nutrisi Manusia dari Universiti Terbuka Malaysia untuk melengkapkan diri bagi membantu mereka yang menghadapi masalah pemakanan tidak seimbang.

"Semua itu bagi memastikan saya mampu memberi khidmat terbaik kepada pelanggan di CitySkin Medispa. Tambahan pula pengalaman melihat kerjaya ibu juga mencetuskan inspirasi kepada saya untuk terbabit dalam bidang kecantikan dan kesihatan ini," kata ibu muda ini.

Bagi menambahkan lagi ilmu dan pengetahuan dalam bidang kecantikan dan kesihatan, Siti Farah juga melanjutkan pengajian dalam bidang Trikologi Paramedikal dari International Association of Trichologist, di Sydney, Australia.

Atasi masalah pelanggan

Ilmu yang dipelajari bagi membantu menyelesaikan masalah rambut gugur itu juga dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberi nasihat dan menyelesaikan masalah kepada pelanggannya di Hair Rich World Integrated Trichology Center di Wisma Life Centre, Bangsar South.

"Rambut adalah bahagian yang sering kali kita terlepas pandang, tambahan pula pada masa sekarang ramai wanita bertudung, menjadikan masalah rambut terlalu peribadi dan tidak dikongsi dengan orang lain.

"Sedangkan masalah seperti keguguran rambut sebenarnya adalah petanda utama kepada masalah kesihatan yang dihadapi kebanyakan masyarakat moden pada masa kini," katanya.

Siti Farah berkata, ramai dalam kalangan wanita yang tidak tahu bahawa masalah keguguran rambut juga mempunyai kaitan dengan hormon dan petanda kepada penyakit seperti kanser, kencing manis dan pusingan haid yang tidak teratur.

Katanya, malang sekali kebanyakan pesakit yang menghadapi masalah keguguran rambut lambat mendapatkan rawatan kerana menganggap ia perkara biasa dan tidak membimbangkan.


KETUA Pegawai Eksekutif City Skin MediSpa, Siti Farah Azwin Abd Khalid (kiri) berbincang dengan ibu, Dr Wan Julia Sham Ariffin. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Rambut mahkota wanita

Sehubungan itu, desakan pesakit yang mahukan keselesaan dan keberkesanan dalam membuat rawatan masalah rambut yang dihadapi mereka menjadi pendorong kepada Dr Wan Julia untuk menubuhkan Hair Rich World Integrated Trichology Centre.

Katanya, pengalaman sedih melihat gadis remaja yang kehilangan bahagian yang dianggap sebagai mahkota bagi kebanyakan golongan wanita ketika usia muda itu menguatkan semangatnya untuk membantu mereka yang menghadapi masalah berkenaan.

"Lima tahun lalu, saya didatangi seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang kehilangan rambut sejak berusia 14 tahun yang turut menghadapi masalah tidak pernah didatangi haid.

"Masalahnya itu menyebabkan dia bukan saja mengalami tekanan, tetapi terpaksa diberhentikan sekolah kerana tidak dapat berhadapan dengan masyarakat di luar sana.

"Selain berkaitan ketidakseimbangan hormon, kehilangan rambut yang dihadapinya juga berpunca daripada kesedihan atau tekanan selepas kehilangan ibu yang meninggal dunia akibat kanser," katanya menceritakan permulaannya sebagai pakar trikologi atau rawatan rambut itu.

Lembaran baharu

Dr Wan Julia berkata, peristiwa itu membuka lembaran baharu baginya yang mendapat semangat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang trikologi bersama anaknya, Siti Farah.

Katanya, kelebihan sebagai doktor juga membolehkan beliau menyediakan rawatan holistik kepada pesakitnya kerana bukan saja mampu memberikan nasihat mengenai rambut, tetapi kesihatan lain secara keseluruhannya.

Mengulas mengenai masalah keguguran rambut dalam kalangan masyarakat di negara ini, Dr Wan Julia berkata, kebanyakan penduduk tidak perasan mengenai masalah yang mereka hadapi.

"Malah, ibu bapa sendiri tidak menyedarinya kerana pesakit sendiri tidak memaklumkan kepada orang lain kecuali apabila ia sudah di peringkat yang agak serius," katanya.

Berita Harian X