Jumaat, 20 November 2015 | 12:05am
PENGASAS Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman (lima dari kanan) bersama (dari kiri) penyanyi Kumpulan Sakura Band, Mell, Dayang Nurfaizah, Sandra, Elizabeth Tan, Ayda Jebat, Kaka Azraff, Tasha Mansahar dan Alyah yang terpilih ke separuh akhir Muzik-Muzik ke-30 (AJL30). - Foto Surianie Mohd Hanif
DAYANG Nurfaizah sebenarnya mempunyai banyak lagu terutama yang berentak balada. - Foto Salhani Ibrahim

Dayang Nurfaizah teruja lagu Di Pintu Syurga jadi dangdut


PADA awal kemunculannya di arena seni, lagu Seandainya Masih Ada Cinta diakui antara yang meletakkan Dayang Nurfaizah di landasan persada seni tempatan.

Namun kalau mahu dikira, Dayang sebenarnya mempunyai banyak lagu terutama yang berentak balada. Cuma di awal kembara seninya, lagu Seandainya Masih Ada Cinta cukup berbekas di hati yang memuja bakatnya.

Tapi siapa sangka selepas beberapa tahun tidak hadir dengan lagu menyengat seperti Seandainya Masih Ada Cinta, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu bagaikan diberi peluang kedua untuk terus menyerlah selepas hadirnya lagu Di Pintu Syurga ciptaan Tam Mustafah dan lirik nukilan Iman Imran. Lebih bermakna Di Pintu Syurga turut diiringi dengan fenomena drama Ariana Rose yang disiarkan di TV3 kerana dipilih sebagai lagu tema.

Lagu berkenaan turut menjulang penyanyi bervokal gemersik itu di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-29. Selain dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga, lagu itu turut mengangkat Dayang dalam kategori Vokal Terbaik. Baru-baru ini, Dayang turut dimaklumkan yang lagu itu bakal dirakamkan dalam versi dangdut oleh anak penyanyi dangdut terkenal dari Indonesia, Rhoma Irama iaitu Ridhul Roma.

"Saya ada dimaklumkan dan terbaca artikel mengenai lagu Di Pintu Syurga bakal didangdutkan. Ia satu perkembangan yang cukup menyeronokkan. Saya teruja menunggu hasilnya. Selalunya kita dengar lagu dangdut lebih cenderung ke arah rentak gembira.

"Jadi ternanti nanti juga bagaimana lagu sedih versi dangdut," katanya ketika bertemu dengan BH Plus di Balai Berita baru-baru ini ketika berlangsung sidang media Separuh Akhir Muzik Muzik 30.

Dayang menambah hingga saat ini dia menyedari impak lagu Di Pintu Syurga cukup bermakna dalam kerjaya seninya sepanjang 15 tahun. Lagu berkenaan diakui Dayang mengimbas kembali memori lagu Seandainya Masih Ada Cinta apabila ia diterima positif di kalangan peminat.

PERSEMBAHAN Dayang Nurfaizah atau nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang di konsert selembar kasih majlis makan malam amal Fakulti Muzik UiTM. - Foto SaifullizanTamadi

"Alhamdulillah saya dapat rasa sekali lagi impak lagu Seandainya Masih Ada Cinta pada saat ini dengan lagu Di Pintu Syurga pula. Sejujurnya saya tak sangka lagu Di Pintu Syurga akan mendapat reaksi dan maklum balas yang cukup positif.

"Tapi saya bersyukur lagu itu diterima. Saya anggap ia rezeki dan peluang untuk terus maju ke depan lagi sekali gus mengukuhkan nama di persada seni," katanya.

Selepas Di Pintu Syurga, Dayang kini tampil dengan lagu Tak Pernah Menyerah. Lagu ciptaan komposer Akid dan lirik oleh Poji Samad itu turut mara ke separuh akhir Muzik Muzik ke 30.

Lagu berkenaan akan berentap pada minggu ketiga separuh akhir Muzik Muzik 30 berlangsung 6 Disember hadapan. Bagaimanapun momentun lagu Tak Pernah Menyerah tidak sehangat lagu Di Pintu Syurga.

"Tak dinafikan ada yang membandingkan lagu Di Pintu Syurga dengan Tak Pernah Menyerah. Saya rasa perbandingan itu biasa. Cuma bagi saya, kedua-duanya mempunyai kekuatan tersendiri.

"Feel kedua lagu ini berbeza biarpun kedua-duanya berentak balada. Cuma Di Pintu Syurga, balada yang cukup sedih dan Tak Pernah Menyerah pula mempunyai mood gembira," katanya.

Separuh Akhir Muzik Muzik 30 kali ini turut menyaksikan dua protege Dayang ketika pertandingan Mentor. Protege Dayang yang dimaksudkan itu ialah Azmil yang mempertaruhkan lagu Nyawa ciptaan Edry Abdul Halim dan Sandra menerusi lagu Hey Kau (ciptaan Tam Spider dan lirik, Iman Imran).

"Ia berita yang cukup menggembirakan saya. Seronok kerana kami bertiga dapat berentap bersama-sama. Selepas setahun pertandingan Mentor berlalu, saya bangga dan seronok untuk momen ini. Tak sabar nak tengok persembahan mereka. Kami bersaing dan tak kisahlah siapa yang dapat mara ke peringkat akhir sekalipun... janji kami bertiga dapat buat sehabis baik," katanya.

DAYANG Nurfaizah. - Foto Rohanis Shukri

PENYANYI, Dayang Nurfaizah, Sandra dan Azmil antara yang terpilih ke separuh akhir Muzik-Muzik ke-30 (AJL30). - Foto Surianie Mohd Hanif

Dalam pada itu, Dayang turut ditanya mengenai dirinya yang kini sudah mula terdedah dengan media sosial. Jika sebelum ini, Dayang boleh diibaratkan seperti anti sosial tetapi kini dia antara yang aktif di laman media sosial. Dayang mempunyai akaun Instagram, Facebook dan Twitter seperti kebanyakan artis tanah air.

"Ia cukup mengujakan saya. Malah ia menjadi saluran terbaik mendekatkan diri saya dengan peminat. Maklum balas yang saya terima daripada peminat juga cukup cepat. Muat naik sahaja gambar, peminat dan pengikut saya boleh 'like' dan beri komen.

"Daripada situ saya dapat tahu perkembangan peminat yang masih memberi sokongan. Seronok baca komen mereka. Komen itu biasalah ada yang positif dan negatif. Masing-masing ada pendapat," katanya yang turut dipilih menyanyikan lagu tema filem Langit Cinta arahan Osman Ali dan dijangka dipromosi Januari hadapan.

Berita Harian X