Ahad, 5 Oktober 2014 | 5:00pm
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat melakukan usaha mencari dua kanak-kanak yang lemas ketika menyeberangi Sungai Golok dari Pasar Mundok. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Dua beradik hilang di Sungai Golok belum ditemui

KOTA BHARU: Dua beradik yang lemas dalam kejadian bot terbalik di Sungai Golok semalam masih belum ditemui.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Rahmat Kamaruzaman, berkata sehingga jam 4 petang tadi, kira-kira 100 anggota yang menyertai operasi itu masih gagal menemui Wan Nurdina Nadia Wan Azli, 10, dan adiknya, Wan Nurhabib Naufal, 6.

Beliau berkata, operasi pencarian meliputi kawasan sepanjang tiga kilometer.

"Operasi akan dihentikan pada jam 7 malam ini dan disambung esok," katanya.

Mayat ibu mereka, Rosmiwati Zakaria, 37, ditemui pada jam 5.45 petang semalam, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Tiga beranak itu adalah antara 15 penumpang bot dalam perjalanan pulang dari Pasar Mundok, yang terletak di seberang Sungai Golok, sebelah Thailand.

Rosmiwati adalah pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Jerantut, Pahang sementara Wan Nurdiana Nadia adalah murid Sekolah Kebangsaan Jerantut.

Bot itu terbalik dalam keadaan arus sungai deras berikutan hujan lebat sebelum itu.

Mangsa lain berjaya diselamatkan dan ada yang berenang ke tebing.

- BERNAMA

Berita Harian X