Sabtu, 21 November 2015 | 2:27pm

CEO Facebook akan ambil cuti 2 bulan jadi bapa


Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg bersama isterinya, Priscilla Chan.

SAN FRANCISCO: Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg berkata beliau akan ambil cuti dua bulan apabila anak perempuan sulungnya dilahirkan nanti.

Kenyataan Zuckerberg menzahirkan kepada dunia sejauh mana eksekutif paling tersohor dunia itu ambil berat mengenai betapa pentingnya meluangkan masa dan menjaga urusan keluarga.

Firma teknologi terkenal lain di Silikon Valley turut mengikut jejak Facebook dengan memanjangkan tempoh cuti ibu bapa menyambut kelahiran.

Facebook, rangkaian media sosial terbesar dunia membenarkan pekerjanya di Amerika Syarikat untuk mengambil cuti berbayar hingga empat bulan untuk ibu bersalin atau bapa, yang mana ia boleh digunakan sekali atau sepanjang tahun awal anak mereka dilahirkan.

Zuckerberg mengumumkan perkara itu Julai lalu yang dia dan isteri, Priscilla Chan sedang menunggu kehadiran anak perempuan.

"Keputusan ini sangat peribadi," tulis Zuckerberg di laman Facebooknya bersama gambar kereta sorong bayi, bakul bayi berwarna kuning dan anjingnya, Beast.

"Kajian turut menunjukkan apabila ibu bapa yang bekerja mengambil masa untuk anak mereka yang baru dilahirkan, kesannya adalah lebih baik untuk anak dan keluarga," katanya lagi.

Zuckerberg bagaimanapun tidak mendedahkan siapa yang bakal menggantikan posisinya buat sementara waktu ketika dia bercuti.

Facebook juga tidak memberi maklum balas kepada pertanyaan media.

Ketua Pegawai Operasi, Sheryl Sandberg, yang bertanggungjawab terhadap semua urusan pengiklanan Facebook, dikatakan antara calon terbaik mengisi tampuk kepimpinan.

Bagaimanapun selama ini, Chris Cox selaku Ketua Pegawai Produk adalah juga antara orang harapan Zuckerberg.

Keputusan Zuckerberg dilihat begitu luar dari kebiasaan terutamannya untuk eksekutif teknologi tertinggi terutama lelaki.

Ketua Pegawai Operasi Yahoo INC, Marissa Mayer, hanya mengambil dua minggu cuti bersalin selepas kelahiran anak sulungnya pada 2012 dan apabila dia mengumumkan berita mengandung anak kembar pada bulan September, hanya mahu mengambil cuti bersalin yang pendek dan masih mahu bekerja ketika mengandung.

Status Zuckerberg mengenai hal berkenaan turut mendapat lebih 50,000 'likes' dan mendapat komen hampir 3,000. Kebanyakan komennya dipuji dan mendapat maklum balas positif.

275 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »