Isnin, 23 November 2015 | 8:35pm

Mangsa banjir di Perak meningkat kepada 365 orang


PENDUDUK di Kampung Tok Sirat sedang berehat di dewan serbaguna berhampiran kampung tersebut. - Foto Mohd Nazrulaswad

IPOH: Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat kepada 365 orang daripada 94 keluarga dengan dua lagi pusat pemindahan dibuka di Sungai Siput, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Yahya Madif.

Beliau berkata, mangsa banjir di Sungai Siput membabitkan 18 orang daripada empat keluarga dari Kampung Lasah dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Lasah manakala 50 orang daripada 11 keluarga dari Kampung Tok Sirat, ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Sirat.

"Kampung-kampung itu dilanda banjir awal pagi tadi berikutan hujan lebat dan menyebabkan rumah mereka dinaiki air setinggi 0.2 meter hingga 0.5 meter," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, jumlah mangsa banjir di daerah Bagan Serai pula membabitkan Kampung Changkat Lobak, Kampung Matang Tengah dan Air Hitam masih kekal dengan 63 orang daripada 15 keluarga.

semua mereka masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, katanya.

Beliau berkata, 51 orang daripada 16 keluarga dari Bukit Merah Batu 38 dan Batu 40 di daerah Bagan Serai ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Merah.

Di daerah Hilir Perak, Yahya berkata seramai 73 orang daripada 20 keluarga dari Kampung Mesra Batu 7, Changkat Jong, Lorong Mesra, Batu 9, Lorong Kedah dan Kampung Baru Batu 8 masih berada di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan.

"Sementara itu, seramai 27 orang daripada enam keluarga membabitkan penduduk di Parit 7, Teluk Intan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ara," katanya.

Sementara itu, mangsa tanah runtuh dari Kampung Padang Serai, Pengkalan Bharu di Pantai Remis masih kekal 83 orang daripada 22 keluarga dan mereka ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai.

Katanya, agensi yang terlibat membantu mangsa banjir ialah JBPM, RELA, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

- BERNAMA

58 dibaca
Berita Harian X