Selasa, 24 November 2015 | 3:42pm

Terengganu anjur semula Monsoon Cup


MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman. - Foto Aswadi Alias

KUALA NERUS: Kerajaan negeri akan meneruskan penganjuran pertandingan perahu layar Monsoon Cup di muara Sungai Terengganu, akhir Disember depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pertandingan perahu layar kategori tertutup dan terbuka peringkat negeri itu diadakan semula selepas ditangguhkan sejak dua tahun lalu.

Katanya, walaupun pertandingan itu bukan bertaraf antarabangsa, penganjuran itu dijangka mampu menarik penyertaan pelayar dari seluruh negara.

"Tujuan penganjuran itu bukannya untuk bersaing dengan kejohanan perahu layar peringkat antarabangsa yang diadakan di Johor Bahru, tetapi diadakan bertujuan merancakkan sektor pelancongan di negeri ini, terutamanya pada musim tengkujuh," katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penyerahan kunci dan surat tawaran Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM), di Pulau Duyung, di sini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Osman Muda.

Ahmad Razif juga berkata, kerajaan negeri akan memperbanyakkan aktiviti sukan rakyat dan kebudayaan tempatan sempena penganjuran sukan itu.

Berita Harian X