Selasa, 24 November 2015 | 8:42pm

Marcelo senarai 17 pemain futsal jalani kem latihan pusat

KETUA jurulatih negara, Marcelo Serpa.
KETUA jurulatih negara, Marcelo Serpa.

KUALA LUMPUR: Kejayaan menduduki tempat ketiga pada Kejuaraan Futsal AFF 2015 di Bangkok, Thailand, bulan lalu menyaksikan skuad negara diundang menjalani perlawanan persahabatan bersama Qatar di Doha, pertengahan bulan depan.

Sebagai persiapan menjelang perlawanan itu, ketua jurulatih negara, Marcelo Serpa memanggil 17 pemain bagi menjalani kem latihan pusat di Shah Alam yang bermula dari 2 hingga 12 Disember ini.

Perlawanan menentang Qatar dijadualkan pada 14 dan 16 Disember depan.

Bagi kem latihan pusat kali ini, Marcelo menyenaraikan 12 daripada 16 pemain dari skuad di Bangkok dengan empat pemain yang digugurkan ialah penjaga gol Mohd Noor Azrin Adnan, Muhammad Shamsul Akmar Zamri, Abu Haniffa Hassan dan Qaiser Heshaam Abdul Kadir.

Untuk melengkapkan senarai 17 pemain bagi kem kali ini, Marcelo memanggil lima muka baharu terdiri daripada penjaga gol Mohd Afiq Abdul Rahman dari Pahang, Mohd Azwan Ismail (FELDA United), Mohd Faisal Saharudin (Kuala Lumpur MK), Amar Ashraf Abu Bakar (Kedah) dan Muhammad Afif Asyraf Muhd Halil (MPSJ).

Kem latihan dan perlawanan persahabatan ini juga dianggap sebagai persiapan awal skuad negara untuk menghadapi Kejuaraan Futsal AFC 2016 di Uzbekistan yang dijadual bermula dari 10 hingga 21 Februari 2016.

Selepas pulang dari Doha pada 17 Disember ini, skuad negara akan kembali berkumpul untuk kem latihan pusat seterusnya mulai 4 Januari 2016.

Mengulas senarai pemain yang dipanggil, Marcelo berkata pemain yang digugurkan mempunyai sebab tersendiri selain mencuba set pemain yang berbeza.

"Saya tidak menyenaraikan Abu Haniffa kerana dia akan melangsungkan perkahwinan ketika kita beraksi pada Kejuaraan Futsal AFC pada Februari depan. Shamsul Akmar dan Qaiser Heshaam masih ada dalam perancangan, cuma untuk panggilan kali ini saya mahu mencuba beberapa pemain lain.

"Mohd Noor Azrin pula tidak disenaraikan kerana saya ingin mencuba penjaga gol baharu, Mohd Afiq yang kali pertama dipanggil ke kem latihan skuad kebangsaan.

"Kami menerima pelawaan Qatar untuk dua perlawanan persahabatan ini memandangkan mereka turut layak ke Kejuaraan Futsal AFC. Qatar sebuah pasukan yang semakin meningkat naik dan bagus untuk menjadi ujian terbaik buat skuad negara."

Senarai 17 pemain kem latihan pusat skuad futsal lelaki

- Ahmad Fawzul Hadzir, Saiful Nizam Mohamad Ali, Azrul Hadee Mohd Taufiq, Muhammad Fitri Muhammad Yatim, Muhammad Akmal Yazadh Amri, Mohd Azwan Ismail (FELDA United), Mohd Faisal Saharudin (Kuala Lumpur MK), Muhammad Shamar Fadzil (Melaka), Amar Ashraf Abu Bakar (Kedah), Mohd Firdaus RazalI, Syed Aizad Daniel Syed Nasir, Muhammad Afif Asyraf Muhd Halil (MPSJ), Saiful Aula Ahmad, Khairul Effendy Mohd Bahrin (Selangor), Akmarulnizam Mohd Idris, Mohd Afiq Abdul Rahman (Pahang), Mohd Rizwan Bakri (Sabah).

Berita Harian X