Isnin, 6 Oktober 2014 | 3:25pm

Presiden Persekutuan Veteran Sedunia meninggal dunia

PRESIDEN Persekutuan Veteran Sedunia (WVF), Lt Kol (B) Datuk Hamid Ibrahim, 77, selamat dikebumilkan di pusara Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Port Dickson di sini hari ini. - Foto Rozainah Abdul Rahim

PORT DIKCSON: Presiden Persekutuan Veteran Sedunia (WVF), Leftenan Kolonel (B) Datuk Hamid Ibrahim, 77, meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tunku Mizan, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, malam tadi.

Allahyarham meninggal dunia pada jam 10.15 malam akibat penyakit kanser hempedu dan hati.

Bekas pegawai tentera itu meninggalkan seorang isteri, Datin Samihani Abdullah, 74, dan empat anak.

Anggota Majlis WVF Malaysia, Leftenan Kolonel (B) Zainal Abidin Mohd Dan, berkata jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Khalid Al-Walid, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur, untuk disembahyangkan pada jam 8 pagi ini.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di pusara Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Port Dickson pada jam 11 pagi.

Turut hadir majlis pengebumian itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Daud, Pengarah Infantri Bri Jen Datuk Azlan Abd Rahman, Komandan Institut Pengurusan Tentera Darat, Kol Rafizi Sharif serta anggota veteran, katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Katanya, semasa hayatnya Allahyarham dipilih sebagai Presiden WVF yang berpangkalan di Paris, Perancis, sejak November 2000.

Zainal Abidin berkata, selain pernah dipilih sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia selama sembilan tahun sejak 1978, Hamid juga pernah dilantik sebagai Senator selama dua penggal sejak 1983.

Katanya, Hamid menjalani latihan tentera di Royal Military Academy Sandhurst pada tahun 1956 hingga 1957 dan berkhidmat dalam angkatan tentera Malaysia selama 21 tahun sebelum bersara.

"Allahyarham yang berasal dari Johor Bahru pernah berkhidmat di tiga batalion RAMD iaitu Batalion ke-5 RAMD, Batalion ke-4 RAMD dan Batalion Pertama RAMD," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X