Rabu, 25 November 2015 | 1:47am

Bas bawa pengawal Presiden Tunisia dibom, 11 maut

TUNIS: Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh, semalam selepas sebuah bas yang membawa pengawal Presiden Tunisia terkena bom di sebuah jalan utama di tengah-tengah ibu negara Tunis.

Sumber keselamatan dan presiden berkata, letupan itu adalah satu serangan, sambil menambah masih tidak jelas sama ada ia adalah bom atau bahan letupan yang ditembak ke arah bas ketika sedang melalui Mohamed V Avenue.

Ambulans dikerahkan ke tempat kejadian dan pasukan keselamatan pantas menutup kawasan kejadian.

Tunisia mengalami dua serangan besar tahun ini yang menyasarkan industri pelancongannya. Jun lalu, seorang lelaki bersenjata membunuh 38 warga asing di sebuah hotel pantai, manakala pada Mac lalu, lelaki bersenjata membunuh 21 pelancong dalam satu serangan di Muzium Bardo di Tunis.

Militan Kumpulan Negara Islam (IS) mendakwa bertanggungjawab ke atas kedua-dua serangan. Pihak tentera juga sedang menentang satu lagi kumpulan militan Islam di pergunungan berhampiran sempadan Algeria.

Kumpulan militan didakwa sering menyerang pusat pemeriksaan dan rondaan di kawasan luar bandar pada masa lalu. - REUTERS

Berita Harian X