Rabu, 25 November 2015 | 3:25pm

Pemandu lori curi Lego bernilai RM22,575 diberkas

KENDERAAN milik suspek bermuatan pelbagai barangan Lego dipercayai telah dilarikan di Taman Tema Lego, di Nusajaya Johor Bahru, baru-baru ini. - Foto Ahmad Ismail

NUSAJAYA: Seorang pemandu lori yang mencuri barang permainan Lego bernilai RM22,575 di bilik pameran dalam Hotel Legoland di sini diberkas polis baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nusajaya, Deputi Superitendan Ismail Dollah, berkata lelaki berumur 37 tahun itu ditahan di rumahnya di perkampungan Jementah, Segamat pada jam 2.15 pagi Isnin lalu.

"Selepas menerima laporan, polis berjaya memberkas suspek dalam masa kurang daripada 24 jam," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya di sini, hari ini.

Menurut Ismail, suspek terlebih dahulu telah menginap selama satu malam di hotel berkenaan dan bertindak mencuri barang permainan itu selepas mendaftar keluar.

"Modus operandi yang digunakan suspek ialah mencuri barang permainan Lego yang dipamerkan dengan memasukkan kesemua permainan dalam beg besar sebelum keluar daripada hotel itu," kata beliau.

Katanya, pihak polis turut menemui semula barangan curi antaranya Lego Dragon, Lego Monkey, Lego Monkey Head, Throw Pillow Pirate dan Bed Runner King.

Selain itu, hasil ujian air kencing mendapati suspek turut positif dadah jenis Amphetamine (AMP) namun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Suspek direman selama tiga hari sejak semalam untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan (Curi dalam bangunan) dan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan juga boleh didenda atau sebat.

Katanya, kes curi Lego adalah pertama kali seumpamanya dan pihaknya memandang serius kes itu kerana boleh mencemarkan imej industri pelancongan di negeri ini.

- BERNAMA

Berita Harian X