Selasa, 14 November 2017 | 5:10pm
TIMBALAN Naib Canselor (Hal Ehwal Alumni) UKM, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal (tengah) beramah mesra bersama Pengerusi TAWIS, Prof Madya Dr Fariza Md Sham (kiri) pada Seminar Tamadun dan Warisan Islam. (TAWIS) 2017 di Istitut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi. - Foto Rosela Ismail

Kikis tanggapan tamadun Islam milik orang Arab

BANGI: Persepsi tamadun Islam milik orang Arab perlu dikikis kerana ia tidak bertepatan dengan konsep ketamadunan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, berkata tamadun Islam bukan milik sesuatu bangsa sebaliknya kepunyaan umat Islam secara keseluruhannya.

"Tamadun Islam tidak dinafikan bermula di Arab kerana Rasulullah SAW berbangsa Arab dan ia berkembang menerusi ajaran Al-Quran dan sunnah.

"Jika kita hendak mengukur tamadun Islam dengan tamadun Arab semata-mata, itu salah. Tamadun Islam diasaskan Rasulullah SAW melalui pengajaran Islam itu sendiri.

"Saya melihat tamadun Islam itu menerusi pegangan umat dan ramainya orang yang menganuti," katanya pada Seminar Kebangsaan Tamadun dan Warisan Islam (TAWIS) 2017 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi TAWIS 2017, Prof Madya Dr Fariza Md Sham.

Sementara itu, Fariza berkata, masyarakat dunia menafikan wujud ketamadunan Islam kerana melihat masyarakatnya sebagai bermasalah.

"Umat Islam dianggap sebagai pengganas, dikaitkan dengan Islamofobia dan dikatakan masyarakat yang kurang berinovasi.

"Jadi imej Islam perlu diperbetulkan dengan satu pencapaian tamadun seperti kegemilangan Islam satu masa dulu," katanya.

Fariza berkata, umat Islam perlu bangkit menguasai ilmu teknologi supaya kita tidak sekadar menjadi pengguna, sebaliknya dikenali sebagai pereka cipta.

Seminar bertemakan Tamadun dan Peradaban Islam: Merekayasa Kreativiti dan Inovasi itu, membincangkan isu semasa dan cabaran dalam tamadun Islam yang dihadapi dalam konteks pendidikan, kebudayaan, kesenian, hiburan dan politik.

Seminar tahunan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Institut Islam Hadhari UKM itu dihadiri lebih 200 peserta dan membabitkan pembentangan 15 kertas kerja dalam kalangan ilmuwan, pensyarah dan pelajar sarjana.

229 dibaca
Berita Harian X