Ahad, 22 April 2018 | 7:11am
FARHANA menyampaikan usrah kepada pelajar di Pusat Pengajian Arraudhah, Bandar Utama.

Bantu selamat akidah golongan hilang arah

ANTARA sindrom yang menular dalam kalangan umat Islam hari ini dan perlu dibendung segera adalah keruntuhan iman akibat tidak memahami ajaran serta ketetapan syariat Allah SWT, malah berani mempersoalkan kebenaran dalam banyak aspek, termasuk hukum.

Menyifatkan situasi itu makin serius, pendakwah kelahiran Singapura, Farhana Munshi, berkata ia adalah ancaman kepada Muslim di seluruh dunia.

"Di Singapura ia semakin merebak dan berdasarkan pemerhatian saya menerusi pencarian di media sosial, kebanyakan melihat hal agama menyusahkan. Ada yang merungut terlalu banyak larangan dalam Islam hingga mendorong golongan ini berpaling daripada jalan Allah SWT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk 'Kemudahan dan Kesederhanaan Islam' di Pusat pengajian Arraudhah, Bandar Utama, baru-baru ini.

Sikap ambil peduli

Mengupas lanjut, beliau berkata, setiap Muslim seharusnya ambil peduli dan memainkan peranan masing-masing bagi membantu menyelamatkan akidah golongan berkenaan dengan mendekati mereka secara berhemah.

Farhana berkata, setiap kita harus ambil tahu apakah punca golongan itu berpaling daripada ajaran agama kerana mungkin mereka melihat sesuatu perkara dari sudut pandang berbeza dan cara berfikir perlu dibantu serta diperbetulkan.

Katanya, tidak faham undang-undang Islam juga akan memudahkan nafsu menguasai diri dan akhirnya mengambil langkah meninggalkan suruhan agama, sementara terpengaruh dengan budaya bertentangan Islam menyebabkan mereka cenderung menolak syariat.

"Sebenarnya kerja dakwah bukan tugas mutlak ustaz atau ilmuwan sahaja, sebaliknya setiap daripada kita perlu melakukannya, dimulakan dengan orang terdekat seperti ahli keluarga dan sahabat," katanya.

Tambah beliau antara inisiatif yang boleh digerakkan bagi membantu mereka yang hilang arah adalah mengembalikan pendidikan agama yang menekankan aspek kepercayaan dan iman kepada Allah SWT.

Beliau berkata, hanya orang yang mampu mengawal hawa nafsu akan patuh dan merasai kemanisan daripada setiap syariat yang dianjurkan oleh Islam.

Farhana yang banyak terbabit dalam kerja penterjemahan karya ilmuwan Islam melihat kaedah pendidikan perlu dimulakan oleh ibu bapa terhadap anak pada awal usia seperti memberi ilmu ketuhanan yang mudah difahami, termasuk kepentingan mencintai Allah SWT dan junjungan Nabi Muhammad SAW.

Ibu bapa seharusnya lebih kerap bercerita mengenai Allah SWT, peranan manusia sebagai khalifah di bumi dan mengapa syariat membataskan kita daripada melakukan perkara tertentu supaya mereka merasai wujudnya perhubungan spiritual serta mendahulukan agama dalam kehidupan.

Al-Quran, sunah jadi pedoman

Kepatuhan kepada ajaran agama boleh disemai melalui pelbagai cara, termasuk menjadikan al-Quran dan sunah sebagai pedoman, memahami setiap ayat yang mengandungi nasihat serta perintah bagi memenuhi kewajipan sebagai seorang Muslim.

Selain itu, menurut Farhana, cara paling mudah untuk mendapat petunjuk Allah SWT adalah dengan berdoa.

"Sebagai Muslim ada kala kita buntu bagaimana untuk berhubung dengan Allah SWT. Yakinlah, Dia akan menjawab setiap doa yang dipanjatkan. Seperti disebut dalam hadis qudsi, sekali ingatan kita kepada Allah SWT, seribu kali ingatan-Nya kepada hamba yang dikasihi," katanya.

Berita Harian X