X
Khamis, 10 Mei 2018 | 7:43am

Mukmin lalai zalimi diri sendiri

STANDFIRST: Kematian bukan saja menjadi antara tanda akhir zaman, bahkan peringatan supaya orang beriman sentiasa bersedia menghadapinya. Ikuti rancangan Islam Itu Indah yang menampilkan Ustaz Firdaus Subhi dalam menyorot ancaman orang beriman yang lalai dan menzalimi sendiri.

Mati atau meninggal dunia pasti akan berlaku kepada sesiapa sahaja yang bernyawa. Setiap makhluk akan merasai mati, bahkan Allah SWT menyebut kematian adalah perkara pasti cuma bila waktunya adalah rahsia-Nya. Dalam al-Quran Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sungguh dia beruntung. Kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan memperdayakan." (Ali Imran: 185)

Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Firdaus Subhi, berkata Mukmin yang beriman kepada Allah SWT hendaklah menguruskan kehidupan sebaik mungkin kerana setiap satu dilakukan akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Ketakwaan terhadap perintah Tuhan akan menatijahkan keberkatan dan kasih sayang-Nya yang akhirnya mendapat ganjaran di akhirat kelak.

Antara petanda akan berlakunya kiamat ialah kematian mengejut orang alim, selain tanda seperti kematian disebabkan kemalangan, kesakitan pelik dan pelbagai perkara di luar batasan pemikiran manusia. Oleh itu, Mukmin hendaklah sentiasa bersedia dan beriman kepada Allah SWT kerana tidak seorang pun akan tahu waktunya akan berakhir.

Oleh demikian Mukmin diingatkan agar tidak melakukan kezaliman ke atas diri sendiri dengan melakukan maksiat dan ingkar perintah Allah SWT. Begitu juga setiap perbuatan dan amalan di dunia hendaklah berdasarkan pedoman al-Quran serta sunah supaya dengan kedua-dua panduan ini akan menyelamatkan manusia ketika pembalasan Allah di akhirat nanti.

Ulama Sheikh at-Tantawi mendefinisikan mereka yang dikategorikan menzalimi diri sendiri sebagai Mukmin melakukan kejahatan melebihi kebaikan. Meninggalkan perkara wajib diperintah Allah SWT dan melakukan perkara diharamkan-Nya sungguhpun mengucap kalimah syahadah tetapi pada masa sama mengingkari perintah Tuhan. Mereka akan mendiami neraka jahanam di akhirat nanti.

Adapun neraka jahanam dimaksudkan ialah Neraka Jahim, iaitu yang diperuntukkan kepada orang beriman kepada Allah SWT tetapi tidak cukup amalannya. Mereka dari kalangan orang menzalimi diri sendiri yang akan mendapat pembalasan neraka daripada Allah SWT. Setelah menerima pembalasan di neraka barulah mereka dibersihkan di dalam telaga Kausar sebelum dimasukkan ke syurga.

Dunia ialah tempat bercucuk-tanam dan melakukan amalan bagi mengutip ganjaran pahala di akhirat. Seandainya matlamat Mukmin adalah untuk mengejar akhirat pastinya dunia menjadi ladang untuk membina sebanyak mungkin pahala. Malanglah bagi Mukmin jika di tangannya terdapat kunci kejahatan yang akan menjerumuskannya ke neraka jahanam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesiapa beramal soleh daripada kalangan lelaki atau wanita sedangkan dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka kerjakan." (An-Nahl: 97)

Oleh itu, mukmin hendaklah berlumba-lumba memburu pahala dan membuat kebaikan kerana kelompok manusia yang menafkahkan dirinya untuk kebaikan pastinya akan mendapat ganjaran syurga Allah SWT. Justeru, setiap mukmin wajib sentiasa bermuhasabah diri, menuntut ilmu dengan mereka yang fakih dan sentiasa mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah. Ini kerana hidup cukup singkat untuk dihabiskan dengan perkara sia-sia.

Penulis adalah Pengurus Berita Radio IKIMfm

Berita Harian X