Rabu, 23 Mei 2018 | 6:03pm

1,500 perpustakaan bakal jayakan World #QuranHour

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,500 perpustakaan di seluruh negara bakal menjayakan kempen World #QuranHour yang akan berlangsung pada 7 Jun ini.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad, berkata PPAS bersama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan 14 perbadanan perpustakaan awam negeri akan mengadakan bacaan serentak pada hari kempen berkenaan.

Mastura berkata, sebagai agensi yang menggalakkan orang ramai membaca buku, mereka mengambil peluang daripada kempen World #QuranHour untuk mengajak orang ramai bersama-sama membaca al-Quran.

Katanya, pihaknya mensasarkan lebih sejuta pembaca yang akan menjadikan perpustakaan di seluruh negara sebagai lokasi untuk membaca al-Quran pada tarikh terbabit.

"Kempen World #QuranHour disifatkan sebagai kos yang rendah tetapi mendatangkan impak yang besar kepada orang.

"Ia sama seperti kempen Earth Hour dan kempen Jom Baca 10 minit yang tidak membabitkan kos yang besar," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Mastura berkata, pihaknya meneruskan kerjasama dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) dan menjadi sebagai penggerak kepada kempen ini buat tahun ketiga.

"Ini kerana PPAS dan perpustakaan lain juga mempunyai pengunjung serta tempat untuk mengumpul ramai orang.

"Jadi, kami ingin mengajak orang ramai untuk datang ke perpustakaan dan juga lokasi yang ditetapkan, selain menjadikan pejabat dan rumah masing-masing sebagai tempat yang menjayakan kempen World #QuranHour," katanya.

Beliau berkata, kempen World #QuranHour yang menggerakkan orang ramai untuk membaca al-Quran ialah wadah untuk melahirkan masyarakat berilmu dan beragama.

"Al-Quran ialah sumber ilmu terbaik untuk belajar. Ini kerana semua yang diceritakan dalam al-Quran berkait dengan kehidupan seharian hingga apabila kita mendalami dan mempelajarinya, kita akan memperoleh kehidupan yang lebih bermakna.

"Kempen ini juga menjadi antara cara dakwah untuk menggalakkan generasi muda mendampingi al-Quran, selain orang ramai untuk sama-sama bertadabur dan tazakkur dalam membaca kitab suci itu," katanya.

Namun, Mastura juga mengingatkan agar kempen World #QuranHour tidak hanya pada dasar dan bentuknya saja, sebaliknya penghayatan orang ramai terhadap kempen yang dijalankan.

Justeru, sebagai penggerak kempen World #QuranHour, Mastura berkata, agensi terbabit terlebih dulu ke depan dalam menjayakan kempen ini.

Katanya, bermula 1 Ramadan lalu, kakitangan PPAS mengambil sedikit masa pada waktu pagi untuk bersama-sama membaca al-Quran.

"Kakitangan PPAS dibahagikan kepada kumpulan yang mempunyai 14 orang untuk bersama-sama membaca al-Quran berserta dengan tafsirnya, sekali gus persediaan kami untuk menjayakan kempen World #QuranHour.

"Pada peringkat awal, memang saya melihat ada kakitangan yang sedikit segan bersama-sama membaca al-Quran secara beramai-ramai tetapi kini mereka teruja untuk menyertainya dan mendengar tafsir yang dibacakan.

"Melihat kepada sambutan yang diterima daripada kakitangan PPAS, sesi ini akan diteruskan pada bulan akan datang selepas Ramadan ini," katanya.

Berita Harian X