Rabu, 13 Jun 2018 | 6:29am

Kewajipan zakat sarat hikmah

Lebih daripada 40 petikan ayat al-Quran menyebut mengenai kewajipan menunaikan Rukun Islam ketiga menerusi ibadah zakat.

Ia sebagai peringatan kepada umat Islam dalam menguruskan harta dengan betul kerana semua rezeki yang datang itu sebenarnya adalah hak mutlak Allah SWT dan wajib untuk diagihkan jumlah tertentu kepada golongan lebih memerlukan.

Sifat sayangkan harta adalah satu lumrah bagi manusia, namun yakin dengan janji Allah SWT, iaitu orang yang berzakat ini akan menerima pelbagai ganjaran bukan sahaja di dunia, bahkan di akhirat kelak.

Ganjaran yang dimaksudkan boleh datang dalam pelbagai bentuk, misalnya bagi seorang lelaki yang membayar zakat, Allah SWT akan mengurniakan isteri yang taat, rumah tangga harmoni dan anak yang soleh.

Firman Allah SWT bermaksud: "Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah At-Taubah, ayat 103)

Zakat satu pembersihan diri

Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali, berkata daripada pandangan mata kasar, amalan berzakat mungkin dilihat oleh sesetengah masyarakat sebagai perkara yang boleh mengurangkan harta dimiliki.

Sedangkan jumlah yang patut dikeluarkan tidak sebesar mana, bahkan ia satu pembersihan diri daripada perkara mazmumah seperti bakhil, kedekut dan kurang prihatin terhadap nasib golongan lebih memerlukan.

"Berzakat menjadikan harta kita sebenarnya lebih berkembang, diibaratkan seperti sebatang pokok, sekiranya kita rajin mencantas rantingnya, maka tentunya ia akan menjadi bertambah subur.

"Begitu juga kesan zakat terhadap harta kerana janji Allah SWT, orang yang berzakat itu akan ditambah kurniaan-Nya kepada kita sekiranya kita sentiasa bersyukur terhadap nikmat pemberian-Nya," katanya.

Tambah Che Mat, tidak dinafikan wujud senario apabila ada yang beranggapan mereka tidak layak mengeluarkan zakat kerana ia untuk golongan kaya sahaja.

Tanpa disedari, terdapat 2.5 peratus daripada harta kita sebenarnya dimiliki oleh orang lain.

"Sehubungan itu, saya ingin menyarankan umat Islam membuat taksiran dan pertanyaan terlebih dulu di mana-mana kaunter cawangan PPZ-MAIWP bagi menentukan sama ada mereka perlu membayar zakat bagi tahun berkenaan atau sebaliknya," katanya.

Jangan lari tunai kewajipan

Che Mat berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dapat dilihat peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat Islam dalam aspek pengeluaran zakat.

Bagaimanapun, pada masa sama terdapat kebimbangan kerana masih ada dalam kalangan golongan berkemampuan khususnya berstatus elit cuba lari daripada menunaikan zakat dengan 1001 macam alasan.

"PPZ-MAIWP ingin menyeru orang ramai supaya melunaskan ibadah zakat kerana saya amat risau dengan jumlah asnaf yang makin meningkat di Wilayah Persekutuan ketika ini dan tentu sukar untuk disantuni tanpa kutipan yang mencukupi.

"Jika jumlah yang membayar zakat meningkat, ia bermakna lebih ramai asnaf dapat dibantu, bayangkan sahaja dengan kos hidup yang tinggi di ibu kota sekarang tentunya menuntut PPZ-MAIWP menaikkan bantuan bulanan.

"Jika sekitar 2003 hingga 2004, bantuan bulanan yang diberikan sekitar RM500 bagi satu keluarga, kini asnaf menuntut jumlah lebih tinggi bagi menampung kos sara hidup semasa," katanya dalam pertemuan di pejabatnya, baru-baru ini.

Kemudahan zakat PPZ-MAIWP

Sehubungan itu, menurut Che Mat, jumlah bantuan bulanan dinaikkan lebih RM1,000 bagi memastikan hak dan kebajikan asnaf sentiasa terjaga.

PPZ-MAIWP juga turut menyediakan pelbagai saluran bayaran zakat bagi membolehkan orang awam melakukan kewajipan masing-masing, termasuk menggunakan platform dalam talian.

Selain boleh membayar terus di lebih 11 kaunter PPZ-MAIWP, antaranya di Taman Shamelin Perkasa, Cheras, ia turut dibuka di Masjid Negara, Masjid Abd Rahman Bin Auf, Jalan Puchong dan Anjung Niaga, Taman Tun Dr Ismail.

"Mudahnya berzakat dengan PPZ-MAIWP kerana kaunter dibuka setiap hari pada Ramadan dari jam 8.15 pagi hingga 4.30 petang setiap hari sehingga hari terakhir Ramadan.

"Bagi yang sukar datang ke kaunter fizikal, boleh layari portal zakat PPZ-MAIWP, cuma pergi ke pautan www.zakat.com.my, selain menggunakan perbankan internet oleh bank yang menjadi ejen kutipan kami.

"Selain itu, PPZ-MAIWP turut mempuyai kaunter zakat bergerak yang akan berada di lokasi tertentu bagi memudahkan orang awam berzakat di mana sahaja mereka berada dan sekiranya mahu perkhidmatan ini datang ke premis anda, boleh hubungi 1-300-88-57587," katanya.

Tunai zakat fitrah

Bersempena Aidilfitri yang bakal tiba beberapa hari lagi, Che Mat turut mengingatkan umat Islam supaya segera melaksanakan zakat fitrah dan tidak menunggu atau menangguhkan sehingga ke saat akhir.

Zakat fitrah walaupun kadarnya rendah, ia penting untuk disempurnakan sebagai tanda kesyukuran ke atas nikmat yang diberikan Allah SWT, sekali gus melengkapkan ibadah puasa selama 30 hari sepanjang Ramadan.

Katanya, antara stigma masyarakat yang perlu dikikis bagi membayar zakat fitrah adalah menunggu sehingga pulang ke kampung halaman masing-masing.

"Lebih baik sekiranya zakat fitrah ini ditunaikan di mana tempat kita bekerja, sama seperti zakat harta, lebih afdal dibayar di tempat kita mencari rezeki.

"Ia penting kerana seolah-olah kita membawa hak orang miskin di kawasan kita untuk diberikan kepada individu di tempat lain," katanya.

Perkara ini penting diberikan penekanan kerana ia bersangkut paut dalam usaha mencapai keredaan Allah SWT, sekali gus dapat meraikan Syawal dengan penuh keberkatan.

Berita Harian X