Rabu, 27 Jun 2018 | 5:29pm

Tuduhan bidaah 'ributkan' hukum tahlil, baca al-Quran

SEBAHAGIAN besar kekeliruan terhadap hukum-hakam yang bersifat khilafiah (perselisihan pendapat) atau cabang berlaku kerana bermula dengan pertanyaan yang salah.

Apatah lagi apabila individu yang terbabit dalam isu sebegini bukan dari kalangan orang yang mengikuti tradisi ilmu atau sekurang-kurangnya mendalami ilmu agama.

Lebih memburukkan keadaan apabila individu berkenaan tidak melalui pendidikan adab terlebih dahulu yang menjadi prasyarat kepada semua penuntut ilmu.

Ambil contoh saja kepada isu memberi sedekah pahala kepada si mati seperti melalui majlis tahlil atau membaca al-Quran di perkuburan.

Ekoran pertanyaan yang salah seperti apakah amalan itu bidaah atau tidak, ia menjadi ibarat wabak yang merebakkan kekeliruan dan pertelingkahan dalam masyarakat sehingga menjadikan mereka ribut dengan perkara yang tidak tahu hujung pangkalnya.

Ini kerana tahlil dan membaca al-Quran di kubur itu membabitkan perbincangan hukum sampaikah amalan orang hidup kepada arwah sama ada yang mempunyai pertalian darah mahupun tidak.

Sebenarnya isu sampai atau tidak ini tidak timbul pertikaian dalam mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali tetapi ia menjadi khilaf apabila wujud dua pandangan berbeza yang diriwayatkan daripada Imam Syafie yang dianggap qaul masyhur (pandangan yang diketahui umum).

Bagaimanapun disebabkan pertanyaan sudah bermula dengan salah, iaitu bidaah atau tidak dengan definisi 'bidaah' pula tidak mengikut kerangka yang dibina dalam mazhab Syafie, maka ia menimbulkan kekacauan dalam memahami hukum itu.

Kewujudan dua pandangan berbeza yang dilaporkan daripada seorang tokoh yang sama itu tidak boleh dipetik begitu saja dan dikeluarkan daripada konteks tradisi mazhabnya untuk menghasilkan suatu kesimpulan hukum.

Sebaliknya, ia perlu dipulangkan kepada ulama mazhab yang memiliki autoriti ilmu diiktiraf dalam tradisi mazhabnya.

Dalam 'khilaf' ini umpamanya, kedudukan sebenar boleh disusuri pada penjelasan Imam Nawawi dalam kitabnya, al-Azkar dan diselesaikan oleh Imam Subki yang menetapkan qaul muktamad (pendapat yang dipegang).

Malah, perbezaan pandangan dalam hal itu pula bukanlah pada benar atau tidak, sebaliknya cara yang terbaik supaya pahala amalan yang dilakukan sampai kepada arwah.

Isu ini sebenarnya sudah pun diselesaikan oleh ulama silam sekiranya kita mengikut tradisi ilmu yang sebenar, malah diulang tulis oleh ilmuwan semasa untuk pembacaan masyarakat umum.

Dalam buku tulisan ilmuwan tanah air, ia dibincangkan secara khusus dalam buku kecil, Sampaikah Amalan Orang Hidup Kepada Arwah? tulisan Dr Muhammad Afifi al-Akiti.

Begitu juga ia terkandung dalam buku bersifat ensiklopedia fiqh seperti Khilafiah: Persoalan & Penjelasan susunan Ustaz Muhadir Haji Joll.

Persoalan fiqh yang bersifat khilafiah ini sebenarnya tidak akan menimbulkan keributan sekiranya si penanya bermula dengan pertanyaan yang betul dan dimulakan dengan adab yang benar.

Berita Harian X