Sabtu, 7 Julai 2018 | 7:51am
Syor memperketatkan prosedur memberi kebenaran bagi perkahwinan di bawah umur dapatmengelak pelbagai masalah sosial seperti perkahwinan tidak sah dari segi undang-undang dan anak tidaksah taraf warga. - Gambar hiasan

Jenayah matrimonial cemar imej Islam

Terdapat seruan agar kerajaan menetapkan usia minimum 18 tahun untu k perkahwinan lelaki dan wanita dalam semua rangka undang-undang tanpa pengecualian, iaitu tanpa pembabitan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri dan Ketua Menteri.

Ia semakin lantang berikutan kes perkahwinan lelaki Malaysia 41 tahun dengan gadis warga Thailand yang baru 11 tahun. Perkahwinan ketiga lelaki itu dengan gadis tidak bersekolah, sudah tentu mendapat bantahan ramai.

Dengan kemudahan persekolahan tersedia luas kini, kes yang dilihat menafikan peluang anak perempuan bersekolah dengan membebankannya dengan tanggungjawab perkahwinan, apatah lagi dalam kemelut rumah tangga poligami, adalah tidak munasabah dan zalim. Kes itu sendiri tidak mendapat kebenaran Mahkamah Syariah di negara ini.

Perkahwinan bawah umur selalu dikaitkan kemiskinan dan tahap pendidikan. Ia berlaku pada semua masyarakat yang wujud ketidakseimbangan dalam pembahagian kekayaan, manakala anak ialah kelompok paling lemah dan terpaksa menjadi korban.

Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) menyokong langkah menghentikan perkahwinan paksa yang berpotensi membahayakan baik secara fizikal atau sosial kepada pengantin lelaki atau perempuan.

Kami secara mutlak mengutuk kes kanak-kanak perempuan terpaksa berkahwin dengan lelaki lebih tua dan keadaan gadis muda dianggap sebagai objek atau komoditi kerana keluarga cuba melepaskan diri daripada kemiskinan.

Statistik permohonan perkahwinan bawah umur antara 2010-2015 seperti dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah sebanyak 6,264 kes bagi Muslim dan 2,775 kes (bukan Muslim). Dengan 61 peratus penduduk Muslim, nisbah kes itu menunjukkan isu berkenaan merentasi agama dan bukan hanya masalah masyarakat Muslim seperti digembar-gemburkan.

Di bawah Seksyen 10 dan 12 Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) di negara ini, orang bukan Islam hanya boleh berkahwin secara sah jika sekurang-kurangnya 18 tahun dan memerlukan persetujuan ibu bapa untuk berkahwin jika di bawah 21 tahun. Mereka juga dianggap kanak-kanak bawah umur jika di bawah 21 tahun dan bukan janda.

Bagi umat Islam, umur minimum perkahwinan dibenarkan undang-undang negeri keluarga Islam ialah 18 untuk lelaki dan 16 (wanita). Mereka di bawah umur masih boleh berkahwin jika mendapat persetujuan hakim Syariah.

Di Sabah dan Sarawak, ada adat setempat membenarkan gadis berumur antara 14 hingga 18 berkahwin dengan persetujuan keluarga. Ramai yang masih bermasalah untuk mendaftarkan perkahwinan di bawah mekanisme semasa dan anak-anak pasangan muda ini sering tidak dapat didaftarkan kerana dianggap berasal daripada perkahwinan tidak sah dari sisi undang-undang.

Lihat keperluan masyarakat Islam

Umat Islam juga tidak terkecuali termasuk pasangan Islam di Sabah dan Sarawak yang dikehendaki menjalani kursus perkahwinan oleh pihak berkuasa Islam. Namun disebabkan saiz negara, masalah sistem pengangkutan dan ramai masih di kawasan terpencil (termasuk pasangan di atas had umur), mengakibatkan perkahwinan tidak didaftar secara sah. Akibatnya, anak yang dilahirkan tidak boleh didaftar sebagai warga negara.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis yang bekerjasama dengan WAFIQ yang mengendalikan pusat sehenti untuk wanita melaporkan terdapat kes tiga generasi keluarga tidak dapat memperoleh dokumentasi diperlukan kerana proses pendaftaran rumit dan dianggap mahal.

Kebanyakannya mampu membiayai kursus perkahwinan dan proses pendaftaran, tetapi sebahagian masyarakat pedalaman, menghadiri kursus perkahwinan membabitkan kos pengangkutan dan penginapan mahal. Menaikkan had umur perkahwinan hanya akan meningkatkan kadar kategori ini dan kita akan mempunyai lebih banyak kes anak tanpa kerakyatan. Kita perlu meneliti dan memahami kerumitan itu sebelum mengenakan larangan total perkahwinan bawah umur.

Antara sebab diberikan untuk pengharaman total dan meningkatkan had usia ialah pendidikan serta kadar perceraian tinggi. NGO yang menyokong pengharaman total seperti UNICEF dan UNHCR menyebut beberapa contoh negara, iaitu Algeria, Bangladesh, Maghribi, Mesir dan Turki. Lebih baik kita menilai secara objektif sama ada kita benar-benar tertinggal dalam pencapaian pendidikan berbanding negara berkenaan hanya kerana masalah perkahwinan bawah umur yang diuruskan mekanisma mahkamah di negara ini.

Dalam kedudukan negara dinilai untuk Jurang Gender Global oleh Forum Ekonomi Dunia 2017, kedudukan pencapaian pendidikan Malaysia di tempat ke-63; Algeria (84); Maghribi (99); Bangladesh (95) dan Turki (92). Kita lebih tinggi walaupun tidak mengguna pakai larangan total ke atas perkahwinan bawah umur.

Mereka yang mendesak untuk mengharamkan perkahwinan bawah umur memetik isu kadar perceraian tinggi sebagai kebimbangan. Perkahwinan tidak kira usia pun, tanpa sokongan keluarga akan terdedah kepada kemungkinan perceraian. Di negara ini, laporan Jabatan Kehakiman Syariah menyatakan kadar perceraian perkahwinan bawah umur yang diawasi pihak berkuasa ialah 0.4 peratus pada 2015, lebih rendah berbanding peringkat umur lebih tinggi.

Isu kehamilan

Kehamilan usia muda juga menjadi alasan mengharamkan perkahwinan remaja. Terbukti kehamilan remaja berisiko lebih tinggi untuk komplikasi. Bagaimanapun, perlu ada bukti konkrit mengaitkan perkahwinan yang disahkan Jabatan Kehakiman Syariah dalam kalangan remaja Islam kepada kesan komplikasi obstetrik kerana data sedia ada bercampur kehamilan remaja luar perkahwinan. Kita sepatutnya lebih prihatin terhadap remaja atau kanak-kanak terbabit hubungan seks luar nikah.

Beberapa kajian termasuk oleh S Sulaiman et al pada 2012 yang membandingkan hasil obstetrik kehamilan remaja dan kehamilan dewasa menyimpulkan 'kepercayaan lama' risiko berkaitan dengan kehamilan remaja tidak semuanya wajar.

Mendaftar kandungan awal, penjagaan antenatal mencukupi dan kemudahan bersalin lengkap dengan anggota terlatih seharusnya memperbaiki kesihatan obstetrik serta perinatal dalam kumpulan umur ini.

Meletakkan dasar tanpa menilai faktor seperti kematangan dan sokongan keluarga boleh meningkatkan kes seks luar nikah antara mereka di bawah umur.

Ia boleh mengakibatkan lebih banyak kehamilan remaja tanpa suami berdaftar dan bertanggungjawab. Kita juga bakal menghadapi lebih banyak kes rogol statutori apabila ia boleh dielakkan dengan membenarkan kedua-dua pihak bersetuju berkahwin secara sah.

Kami mencadangkan kerajaan memperketatkan prosedur memberi kebenaran bagi perkahwinan di bawah umur oleh Mahkamah Syariah dan Mahkamah Anak Negeri. Masih banyak situasi sosial perlu ditambah baik agar undang-undang tidak menjerumuskan kita kepada banyak lagi masalah.

Tambah baik akta

Akta sedia ada perlu ditambah baik dengan menetapkan kuasa keizinan ibu bapa atau penjaga pemohon dan perlu ada surat pelepasan Jabatan Peguam Negara terhadap sebarang siasatan atau caj jenayah pemohon lelaki dalam sebarang permohonan bagi mengelakkan kejadian dipaksa berkahwin untuk menutup kes rogol.

Hukuman berkahwin di luar kawasan kariah tanpa kebenaran perlu ditingkatkan kerana banyak kes sebegini berkahwin di luar negara. Bidang kuasa kehakiman Syariah dalam hukuman jenayah termasuk jenayah matrimonial, perlu diperluaskan bagi menangani kes mencemarkan nama Islam dan memangsakan kanak-kanak.

Lebih penting lagi, Jabatan Pendaftaran Negara dan semua pihak berkuasa Islam perlu mengkaji semula prosedur membenarkan pasangan mendaftarkan perkahwinan mereka untuk menangani isu anak tanpa kerakyatan.\

Penulis adalah Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat

Berita Harian X