Jumaat, 21 September 2018 | 11:47am
FAKHRUL Azman Abu Hassan

Suami perlu buktikan kemampuan sebelum poligami

POLIGAMI sah di sisi syarak tetapi polemik mengenainya terus diperkatakan kerana sebahagian rakyat negara ini yang sudahpun berkahwin, memilih bernikah di luar negara terutama di lokasi popular seperti di Selatan Thai.

Tidak hairanlah ramai yang memandang curiga kepada pasangan khususnya lelaki yang berkahwin di luar negara kerana menganggapnya sebagai muslihat untuk mengelakkan diri daripada kebertanggungjawaban.

Peguam Syariah, Fakhrul Azman Abu Hassan, berkata salah faham mengenai poligami masih berlaku dalam kalangan masyarakat khususnya yang bertanggapan suami yang ingin berpoligami perlu mendapat kebenaran terlebih dulu daripada isteri pertama.

“Pernikahan poligami tidak memerlukan kebenaran isteri tetapi apa yang sebenarnya diperlukan adalah kebenaran mahkamah. Prosedur ini seragam di Mahkamah Syariah di negeri.

“Mereka yang ingin berpoligami, pejabat kadi pun tidak akan mengeluarkan surat kebenaran, sebaliknya perintah itu dikeluarkan Mahkamah Syariah.

“Apabila memohon kebenaran mahkamah, kita akan memfailkan satu permohonan poligami, manakala defendan dalam kes ini ialah isteri pertama,” katanya kepada Ibrah BH di Kuala Lumpur.

Sebagai defendan, Fakhrul Azman berkata, isteri pertama secara tidak langsung akan dimaklumkan mengenai permohonan poligami berkenaan menerusi proses perbicaraan.

Suami perlu buktikan kemampuan

Menurut Fakhrul Azman, ini antara sebab ramai suami yang berkahwin di luar negara kerana undang-undang syariah menetapkan mereka perlu membuktikan kemampuan untuk berpoligami.

“Pada peringkat ini biasanya berlaku pelbagai kejadian termasuk kejar-mengejar, selalunya bagi kes yang suami sebenarnya tidak mampu pun untuk berpoligami.

“Bayangkan jika duit bulanan kereta dan rumah pun dibayar secara kongsi dengan isteri, jadi biasanya permohonan sebegini tidak diluluskan kerana memudaratkan isteri pertama.

“Ada sesetengah kes pula, calon isteri kedua sanggup tanggung kehidupan suami yang kurang mampu itu. Biasanya kes sebegini juga tidak lulus kerana tugas mencari nafkah itu adalah tanggungjawab suami,” katanya.

Selain soal kemampuan yang mungkin tidak menjadi masalah bagi sesetengah pemohon poligami, mahkamah turut melihat kriteria lain seperti kemungkinan isteri pertama mengalami penyakit kemurungan atau tekanan emosi disebabkan hal berkenaan.

“Mahkamah Syariah tidak akan menyukarkan permohonan poligami, cuma ia bergantung penuh kepada suami bagaimana dia boleh membuktikan kemampuannya dan memastikan kesan daripada perkahwinan itu tidak pula membawa kesusahan kepada isteri pertama.

“Bagi kes yang poligami itu dipersetujui isteri pertama biasanya tidak menjadi masalah dan mahkamah akan memberi kebenaran,” katanya.

Jalan ‘selamat’ nikah luar negara

Mengulas lanjut, Fakhrul berkata, sehingga kini majoriti suami yang bernikah di luar negara berada dalam situasi terdesak kerana tidak mendapat persetujuan isteri, bahkan yang lebih penting ia dianggap jalan paling ‘selamat’ kerana pendaftaran semula pernikahan di Mahkamah Syariahnya tidak meletakkan sebarang syarat.

“Sebelum ini, cuma di Pulau Pinang saja yang prosedurnya agak berbeza berbanding Mahkamah Syariah di negeri lain. Bagi yang ingin mendaftarkan semula pernikahan di luar negara, salinannya perlu diserahkan kepada isteri pertama.

“Bagaimanapun, sejak awal tahun lalu, Mahkamah Syariah Pulau Pinang menggugurkan arahan itu kerana banyak aduan diterima, antaranya mendorong kepada berlaku perceraian dan konflik dengan isteri pertama,” katanya.

Pada masa sama, prosedur itu mungkin dilihat agak berat sebelah kepada kaum lelaki kerana mereka masih lagi boleh menyembunyikan poligami dan cuma perlu membayar denda kerana tidak mengikut prosedur pernikahan yang betul.

Fakhrul Azman mencadangkan perlu ada bidang kuasa yang menentukan hak isteri pertama dan anak-anak.

“Apabila pendaftaran semula pernikahan di Mahkamah Syariah ini tidak mewajibkan suami memaklumkan isteri pertama, jadi ada yang mengambil kesempatan.

“Perkara ini banyak berlaku, jadi saya harap prosedur ini dipinda supaya poligami tidak dilihat mendatangkan kesusahan kepada isteri pertama khususnya berkaitan kewajipan seperti tempat tinggal dan nafkah.

“Dalam banyak kes, ramai suami yang terlepas daripada beban tanggungjawab. Ada isteri pertama yang terabai, hilang tanpa khabar berita kerana suami lebih memberi fokus kepada isteri muda,” katanya.

Tambahnya, menyembunyikan poligami kebiasaannya akan berakhir dengan konflik yang lebih besar terutamanya perceraian.

“Dalam satu kes, si suami ini orang yang kaya-raya memutuskan untuk berpoligami dan merahsiakan pernikahan keduanya hampir 15 tahun.

“Rumah tangganya aman bahagia sehinggalah isteri pertama tahu mengenai hal ini dan akhirnya memfailkan perceraian.

“Jadi bagi saya, lebih baik berterus-terang dalam hal membabitkan poligami ini kerana ia tanda kita menghargai pengorbanan isteri pertama yang banyak mencurahkan pengorbanan pada saat sukar dan senang,” katanya.

Utamakan hak isteri, anak

Sementara itu, pendakwah, Mohd Jaafarudin Md Ali, berkata pernikahan di luar negara bagi kes poligami perlu dibendung kerana ia cenderung memberikan implikasi negatif kepada institusi perkahwinan itu sendiri terutama hak isteri dan kebajikan anak.


MOHD Jaafarudin Md Ali.

Ia bukan hanya tertakluk pada hak ketika suami masih hidup, bahkan yang lebih menyukarkan adalah selepas kematian termasuk konflik tuntutan harta pusaka, sepencarian dan pembahagian faraid.

Secara dasarnya, ramai lelaki memilih untuk menjalankan pernikahan di luar negara kerana ia disifatkan ‘selamat’ dan salah satu cara bagi menyembunyikannya daripada pengetahuan isteri pertama.

“Selagi mana menyorok, ia bermakna sedang menipu. Dalam kitab al-Kabair, tulisan ulama besar, Imam al-Zahabi menipu disebut sebagai salah satu dosa besar.

“Cuba kita bayangkan, apabila satu ibadat itu dimulakan dengan penipuan. Pastinya si suami akan memberikan seribu satu alasan, pergi ke luar negara kerana urusan kerja dan melancong ketika membuat perancangan bernikah satu lagi, jadi daripada situ sudah hilang keberkatan dalam perkahwinan.

“Sedangkan, poligami sebagai satu sunnah itu mesti ada elemen kasih sayang, bukannya memutuskan silaturahim. Jadi apabila ia disembunyikan akhirnya, hilang kepercayaan bukan saja isteri, bahkan keluarga mentua dan orang sekeliling terhadapnya,” katanya.

Suami tidak harus takut

Mohd Jaafarudin berkata, sekiranya pernikahan di luar negara dilihat sebagai jalan akhir kerana bimbang rumah tangga yang sedia ada berantakan, maka ia tidak wajar dijadikan alasan untuk terus menyembunyikan perkahwinan berkenaan.

Sebaliknya sebagai suami, mereka perlu kuat untuk berterus-terang kerana daripada situ akan terbit kenikmatan berpoligami yang sebenar.

“Saya sendiri beristeri dua dan berpandangan tidak patut ia terus disembunyikan. Bagi yang berkahwin di luar negara, segeralah daftarkan semula pernikahan mengikut prosedur ditetapkan Mahkamah Syariah dan berterus-terang dengan isteri pertama.

“Biarlah berperang pun, tetapi sebagai lelaki, kita ialah pemimpin dan perlulah mempertahankan kelelakian dengan melakukan setiap perkara dengan telus .

“Sebagai ketua keluarga, apa yang patut dilakukan ialah tunjukkan komitmen, pamerkan keadilan termasuk dalam soal nafkah, kebajikan dan penjagaan keluarga.

“Jika kita tunjukkan contoh yang baik, luruskan diri sendiri dulu termasuk solat tidak tinggal, nafkah sentiasa diberi setimpal setiap bulan, jadi lama-kelamaan pasti isteri mula hormat, redha dan tidak menganggap poligami ini penganiayaan kepada kaum wanita,” katanya.

Mahkamah Syariah perlu mesra poligami

Bagaimanapun, Mohd Jaafarudin melihat, Mahkamah Syariah juga perlu lebih mesra kepada munakahat perkahwinan bagi mengurangkan jumlah pernikahan membabitkan poligami di luar negara.

“Misalnya, bagi memohon kebenaran poligami, isteri akan dipanggil oleh mahkamah.

“Saya cadangkan mahkamah supaya tidak hanya memanggil isteri pada hari perbicaraan, sebaliknya mungkin boleh dibuat sesi kaunseling kepada pihak isteri mengenai poligami sebelum itu supaya dapat diberikan penjelasan yang tepat mengenainya.

“Selain itu, jika boleh perbicaraan tidak dilakukan di dewan terbuka kerana masyarakat kita hari ini masih belum bersedia menerimanya,” katanya.

Beliau mencadangkan perbicaraan dibuat di kamar tertutup kerana sebelum ini ia dibuat setempat dengan urusan perkahwinan lain termasuk perceraian, sekali gus turut memberi kesan negatif khususnya kepada emosi isteri pertama.

Perkara ini penting untuk dilihat semula terutama bagi kes poligami yang berat, iaitu tidak dipersetujui isteri pertama.

Mengulas pengalamannya sendiri, ketika perbicaraan permohonan kebenaran poligami dijalankan, walaupun ia lancar kerana dipersetujui isteri pertama tetapi situasi sedikit terganggu kerana pandangan orang awam yang melihatnya dengan pelbagai persepsi tersendiri.

Beri pendedahan tepat, jelas

Pada masa sama, beliau melihat setiap peringkat dalam masyarakat perlu diberikan pendedahan ilmu kepada mengenai poligami supaya tidak disempitkan dengan tanggapan ia penganiayaan terhadap golongan wanita, akibat daripada lelaki gila seks dan menjual sunnah atau agama.

Beliau turut menyokong inisiatif Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) yang akan melancarkan modul poligami pada bulan depan.

“Ramai yang tidak ada ilmu jelas mengenainya. Saya lihat dalam hal ini, semua peringkat masyarakat perlu difahamkan mengenai poligami ini daripada bakal mentua, isteri pertama, isteri kedua sehinggalah kepada anak-anak.

“Sebenarnya dalam Islam tidak ada perbezaan taraf bagi isteri sama ada pertama, kedua, ketiga atau keempat kerana kedudukannya dalam hierarki perkahwinan tetap sama.

“Apabila orang perempuan faham konteks sebenar poligami dan suami juga benar-benar menjalankannya dengan cara betul, maka tidak akan wujud istilah isteri kedua perampas atau perosak rumah tangga,” katanya.

Menurutnya lagi, penerangan mengenai poligami secara menyeluruh amat diperlukan bukan saja dalam bentuk modul, bahkan ketika khutbah Jumaat dan dalam kursus praperkahwinan.

Berita Harian X