Sabtu, 12 Januari 2019 | 9:13am
Program dakwah akan lebih berkesan menerusi pembabitan generasi muda berkemahiran dalam bidang teknologi. - Foto hiasan

Dai muda mahir IT mampu perluaskan gerakan dakwah

Peradaban Islam yang melalui proses sangat panjang, ternyata banyak menyumbang kepada kemajuan manusia dan dunia. Ketika Eropah masih dalam era kegelapan antara abad ke-5 hingga ke-15, Islam sudah mempunyai peradaban maju seawal abad ke-7 khususnya di Asia Barat dan Afrika Utara.

Pengaruh Islam begitu menonjol secara global dalam pelbagai bidang kehidupan, termasuk penyebaran ilmu pengetahuan hingga agama dan tamadun diterima di seluruh pelosok dunia. Wacana peradaban Islam terus disemarakkan melalui usaha dakwah dengan pendekatan perdamaian dan menerusi pelbagai instrumen berdasarkan kesesuaian masa, tempat serta zaman. Sejarah mencatatkan perkembangan Islam di seluruh dunia dilakukan dengan menjunjung tinggi nilai kemanusiaan, perbezaan pendapat, penuh toleransi, kerukunan pelbagai budaya dan agama, tiada diskriminasi serta kekerasan dalam menyebarkan nilai universal Islam.

Sejak 15 abad lalu, nilai itu terus berkembang dan perlu disuburkan dalam umat Islam serta dilaksanakan dalam pelbagai kehidupan manusia, termasuk ketika kita memasuki era Revolusi Industri 4.0 ini.

Kuasai teknologi

Peradaban kemanusiaan yang dibina melalui wacana Islam perlu terus disemarakkan melalui cahaya yang membimbing kehidupan manusia ke arah yang diredai Allah. Islam perlu terus bersinar melalui ilmu pengetahuan yang membimbing manusia dan dengan adanya ilmu, manusia mampu membina tamadun serta peradaban baharu.

Cabaran untuk terus menyebar dakwah dan syiar Islam dalam era Revolusi Industri 4.0 perlu disambut umat Islam, khususnya generasi muda. Generasi muda mempunyai literasi teknologi maklumat tinggi, berkemahiran dan minat tinggi serta mendalam.

Revolusi Industri 4.0 menggunakan konsep penggabungan teknologi digital dan internet serta kaedah konvensional yang bertujuan meningkatkan produktiviti, kecekapan dan juga kepuasan pelanggan maksimum.

Dakwah Islamiah

Generasi muda yang secara umumnya sudah terdedah kepada teknologi maklumat, perlu digerakkan untuk kepentingan dakwah Islamiah. Hal ini dibuat dengan menumpukan ilmu pengetahuan dan mempunyai semangat berdakwah serta berminat atau perlu mendekatkan diri dengan persatuan atau pertubuhan yang berkonsepkan gerakan Islam yang banyak di negara ini seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Ahli-ahli persatuan dalam kalangan generasi muda juga perlu mampu menguasai teknologi maklumat berasaskan teknologi siber, internet, jaringan, data siber serta sistem rangkaian kerana Revolusi Industri 4.0 ialah era internet dan teknologi.

Pada era ini generasi muda Islam perlu mempersiapkan diri agar mempunyai kecekapan modal insan dalam pelbagai bidang. Ini bermaksud tidak sekadar mempunyai kemahiran dalam bidang pengajian Islam seperti al-Quran atau hafazan, hadis, bahasa Arab dan menguasai kemahiran berkomunikasi serta retorik, bahkan berkemahiran dalam ilmu teknologi maklumat, data dan psikologi manusia.

Ini bermakna generasi muda perlu mempunyai kemahiran melaksanakan dakwah dalam bentuk bersasar atau allocative dakwah, iaitu mempunyai sumber, bertujuan, bermatlamat dan mempunyai jaringan serta mekanisme penyampaian dakwah berkesan dalam pelbagai kumpulan sasaran melalui medium media baharu dan teknologi maklumat.

Dakwah tiada batas

Dakwah melalui internet atau media baharu tidak ada batas yang mampu menghalang hubungan dengan individu dan kelompok yang mempunyai akses luas atau tiada ruang penghalang. Oleh itu, Islam mampu disampaikan kepada semua pihak tanpa batasan.

Tambahan pula masyarakat kini berada dalam keadaan amat kompleks akibat faktor kapitalisme dan dunia tanpa sempadan serta pelbagai kefahaman. Oleh itu, nilai Islam yang universal perlu disampaikan secara lebih kreatif dan inovatif melalui internet dan teknologi maklumat (IT).

Pendakwah muda Islam perlu mendekati dan menyampaikan Islam kepada masyarakat secara lebih berkesan serta produktif melalui instrumen teknologi masa kini. Walaupun sudah ada usaha dibuat melalui media sosial dan baharu, jumlahnya masih kecil dan kandungannya terhad. Usaha secara terancang perlu dilaksanakan sehingga mesej Islam dapat disampaikan kepada masyarakat generasi baharu.

Keberkesanan dakwah melalui alam maya akan tercapai apabila kandungan Islam mampu disampaikan dengan kreatif dan menarik dalam bentuk video, data, rajah dan inovasi lain serta diterjemah dalam berbagai bentuk instrumen teknologi dan media sosial.

Peningkatan kecekapan itu diharap bukan saja dapat memperluaskan ruang dakwah, bahkan membantu masyarakat yang berhadapan dengan pelbagai masalah sosial dan psikologi seperti tekanan, kekecewaan, sakit jiwa dan kegelisahan yang sebenarnya mampu dijawab dan diselesaikan menerusi pendekatan Islam.

Jika keadaan itu dibiarkan terus berleluasa, kita khuatir masyarakat akan kehilangan keyakinan terhadap agama dan kerohanian. Oleh itu, Islam perlu diterjemahkan menerusi pendekatan inovatif dan mudah difahami.

Berita Harian X