X
Isnin, 28 Januari 2019 | 1:39pm
Pensyarah Usuluddin Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (UniSHAMS), Dr Nor Azlina Zakaria, (kanan) di Program Multaqa Ilmuan Usuluddin 2018, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. - Foto Azhar Ramli
Pensyarah Usuluddin Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (UniSHAMS), Dr Nor Azlina Zakaria, (kanan) di Program Multaqa Ilmuan Usuluddin 2018, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. - Foto Azhar Ramli

Ilmuwan perlu kuasai falsafah, integrasi ilmu moden dan sains

TRADISI ilmu Usuluddin dikhuatiri tidak dapat dikembangkan dalam masyarakat khususnya generasi muda sekiranya penambahbaikan tidak diusahakan ahli atau pakar dalam bidang ilmu itu sendiri.

Usuluddin yang turut dikenali sebagai ilmu kalam, tauhid dan akidah ialah payung kepada cabang ilmu lain kerana ia asas untuk setiap umat Islam mengenal agama.

Bagaimanapun, dalam dunia moden hari ini, mengekalkan tradisi ilmu itu, sekali gus memastikannya kekal relevan menjadi cabaran yang cukup besar.

Pada peringkat universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), jumlah pelajar yang mengikuti pengajian Usuluddin semakin merosot sehingga sampai ke tahap ada fakulti pengajian agama tidak lagi menawarkan program itu kerana kurang sambutan.

Dalam situasi lain, ada universiti menggabungkannya dengan disiplin agama lain atau ilmu moden dalam usaha menarik minat pelajar, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran untuk terus dihidupkan dalam bidang pendidikan.

Multaqa Ilmuwan Usuluddin 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, memberi perhatian terhadap kemerosotan dalam perkembangan ilmu Usuluddin yang dibincang secara terperinci.

Ketua Eksekutif Institut Pengajian Strategik Islam (ISSI), Dr Amran Muhammad. - Foto Hafiz Sohaimi
Ketua Eksekutif Institut Pengajian Strategik Islam (ISSI), Dr Amran Muhammad. - Foto Hafiz Sohaimi

Ketua Eksekutif Institut Pengajian Strategik Islam (ISSI), Dr Amran Muhammad, berkata kecelaruan pemikiran umat hari ini ada kaitannya dengan kemerosotan bidang Usuluddin, terutama dalam konteks pengajian Islam.

“Usuluddin perlu menjadi proaktif, ilmuwan yang mendalami bidang ini perlu menggunakan kaedah baharu bagi menarik masyarakat Islam selari dengan konteks semasa.

“Golongan ilmuwan ini perlu memainkan peranan dengan menampilkan disiplin Usuluddin mengikut peringkat tertentu, iaitu membezakannya dengan ilmu bersesuaian dengan orang awam dan ahli dalam bidang ini.

“Ini hanya dapat ditangani ilmuwan Usuluddin yang menguasai gabungan ilmu akidah, mantik dan falsafah Islam,” katanya pada acara bertemakan Peranan Ilmuan Usuluddin Dalam Memperkasa Perpaduan Negara dan Pembangunan Ummah anjuran UKM dengan kerjasama Majlis Dakwah Negara, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Ahmad Faisal Abdul Hamid. - Foto Halim Salleh
Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Ahmad Faisal Abdul Hamid. - Foto Halim Salleh

Turut berkongsi pandangan, Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Faisal Abdul Hamid yang mengakui terdapat pelbagai kekangan dihadapinya berasaskan pengalaman mengajar bidang Usuluddin di universiti dan kuliah awam.

Kemiskinan bahasa

“Kekangan utama disebabkan tidak ada kamus istilah dalam bahasa Melayu yang boleh menterjemahkan pelbagai istilah Usuluddin

“Misalnya apabila mengajar tasawuf, kalimah zuhud sahaja mempunyai lebih daripada 80 definisi. Jadi, apabila diterjemah daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu, maksudnya tidak cukup mantap hingga menyukarkan guru untuk menghuraikan, sekali gus menyebabkan pelajar semakin tidak faham.

“Ia bukan sahaja masalah dalam kaedah pengajaran, tetapi kemiskinan bahasa yang tidak dapat menandingi kekayaan bahasa Arab,” katanya.

Menurut Faisal, jika dibandingkan dengan disiplin ilmu Islam yang lain seperti fiqh, ia mempunyai buku istilah fiqh untuk dijadikan rujukan.

Justeru, beliau menyarankan ilmuwan Usuluddin tampil dengan kaedah yang lebih praktikal untuk membantu golongan guru, pensyarah dan pelajar, sekali gus memudahkan penguasaan dalam pengajaran serta pembelajaran secara lebih berkesan.

Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Radhi Ibrahim. - Foto Azhar Ramli
Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Radhi Ibrahim. - Foto Azhar Ramli

Sementara itu, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Radhi Ibrahim melihat keperluan ilmu Usuluddin digerakkan secara integrasi dengan ilmu moden supaya ia lebih mudah difahami dalam konteks semasa.

“Kita perlu melihat semula objektif ilmu itu sendiri, termasuk apa yang ingin disampaikan melaluinya, selain menyorotnya daripada perspektif pengajian di universiti dan sekolah.

“Jika kita lihat realiti masyarakat hari ini, ramai yang terbabit dengan masalah moral, jadi timbul persoalan bagaimana hendak menjadikan pengajian Usuluddin membantu dalam mengurangkan gejala sedemikian.

“Ini antara cabaran ilmuwan Usuluddin kini, iaitu bagaimana pengajian agama yang diajar di sekolah dapat mencegah daripada mereka melakukan perkara mungkar,” katanya.

Beliau menyarankan ilmu Usuluddin tidak diasingkan daripada bidang lain, sebaliknya dihubung kait dengan bidang moden seperti sains kerana ia banyak menyentuh hal kekuasaan Allah SWT.

Katanya, pelajar bidang sains umpamanya akan mempelajari proses penciptaan manusia yang sebenarnya dapat mengukuhkan akidah sekiranya dikaitkan hubungannya dengan Allah SWT secara berterusan.

Perlu ada inisiatif baharu

Berkongsi pandangan hampir sama, Bekas Dekan Usuluddin di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (UniSHAMS), Dr Nor Azlina Zakaria, berkata dalam konteks semasa diakui bidang Usuluddin sukar berdiri sendiri.

Bagaimanapun, beliau melihat perlu ada inisiatif baharu seperti menggabungkannya dengan disiplin ilmu moden yang mempunyai kaitan dengannya, termasuk sains sosial, kaunseling dan psikologi.

“Terdapat universiti yang sudah pun mengorak langkah menggabungkan bidang Usuluddin dengan pengajian lain, sekurang-kurangnya menjadi tarikan dan memberi nilai tambah kepada pelajar terutama kebolehpasaran dalam industri pekerjaan.

“Jadi, apabila mereka dapat melihat potensi pekerjaan selepas bergelar graduan, maka secara tidak langsung bidang Usuluddin berupaya untuk kembali mendapat tempat dalam pelajar.

“Ini disebabkan ada pelajar yang runsing sekiranya mengambil pengajian agama tulen, karier mereka terhad kepada guru atau pegawai agama, sekali gus sukar untuk mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor atau industri lain,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohd Nordin Ibrahim, (tengah) merasmikan Program Multaqa Ilmuan Usuluddin 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. - Foto Azhar Ramli
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohd Nordin Ibrahim, (tengah) merasmikan Program Multaqa Ilmuan Usuluddin 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. - Foto Azhar Ramli

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohd Nordin Ibrahim, (tengah) memperkenalkan Buku Ilmuwan Usuluddin di Malaysia di Program Multaqa Ilmuan Usuluddin 2018, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. - Foto Azhar Ramli
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohd Nordin Ibrahim, (tengah) memperkenalkan Buku Ilmuwan Usuluddin di Malaysia di Program Multaqa Ilmuan Usuluddin 2018, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. - Foto Azhar Ramli

Berita Harian X