Khamis, 14 March 2019 | 8:58am
Manusia dituntut mencari ilmu kerana-Nya. - Foto hiasan
Manusia dituntut mencari ilmu kerana-Nya. - Foto hiasan

Ubah tujuan ilmu berasaskan falsafah kebendaan Barat

Sejarah manusia mencatatkan ilmu bukan saja dianggap pengaruh, bahkan kuasa. Bangsa Greek yang kecil misalnya dengan pencapaian ilmu berpusat di Athens, berpengaruh besar terhadap empayar Roman dan bangsa lain hingga kini.

Dalam konteks masa kini, ilmu penentu penguasaan ekonomi seperti dirumus mahaguru pengurusan, Peter F Drueker, dalam buku, Post-Capitalist Society yang mengatakan kumpulan sosial paling utama dan terpenting pada zaman akan datang ialah pekerja serta eksekutif berilmu pengetahuan dan tahu menggunakan ilmu untuk kerja produktif.

Dengan memahami senario umat Islam akibat kemuflisan ilmu yang ternyata menjadi kuasa dan teras kekuatan budaya serta kualiti hidup bermasyarakat, maka cabaran penguasaan ilmu perlu menjadi agenda ummah paling utama dan disegerakan pelaksanaannya.

Perancangan dan agenda bertindak yang rapi dan praktikal perlu dirangka dengan mengambil ilham ajaran Islam serta sejarah tamadun ummah yang pernah mencapai kecemerlangan dalam bidang ilmu dan teknologi.

Dalam Islam, status dan keutamaan ilmu amat jelas dengan perkataan paling awal diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW ialah Iqra’ bermaksud ‘bacalah.’ Wahyu berbentuk suruhan ‘membaca’ amat bermakna dalam proses pengilmuan.

Banyak ayat al-Quran yang menggalakkan umat Islam mencari ilmu dan memberikan kedudukan utama kepada orang berilmu, ulama atau pakar dalam sesuatu bidang seperti firman Allah SWT: “Allah mengangkat orang beriman daripada golongan kamu dan begitu juga orang dikurniakan ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Al-Mujadalah: 11)

Taraf dan kedudukan orang berilmu tidak sama dengan orang tidak berilmu, manakala hampir 800 ayat al-Quran bertema aspek atau subjek ilmu.

Selaras dengan semangat dan kehendak al-Quran, Rasulullah SAW menjelaskan keutamaan ilmu: “Sesiapa merintis jalan ke arah pencarian ilmu, Allah mempermudahkannya jalan ke syurga. Malaikat melabuhkan sayapnya tanda setuju dengan apa dilakukan penuntut ilmu. Kelebihan orang berilmu dalam bandingan dengan hamba Allah yang biasa bagaikan kelebihan bulan dalam bandingan semua bintang. Ulama itu sesungguhnya pewaris nabi. Nabi sesungguhnya tidak mewariskan sesuatu selain ilmu, maka sesiapa mengambilnya, bermakna dia memperoleh habuan sempurna.” (HR Tirmizi)

Tuntut ilmu dengan sempurna

Keutamaan ilmu bersifat kekal yang faedahnya melangkau sempadan pemisah antara dunia dengan akhirat, sekali gus mengisyaratkan keperluan dan gesaan ilmu dituntut dengan sempurna oleh Muslim yang memahami secara tepat konsep hidup dan kehidupan daripada perspektif lslam.

Pencarian ilmu ialah pelaburan jangka panjang amat menguntungkan dengan bonus dan dividen akan terus diterima pemiliknya walaupun sudah tidak lagi berada di dunia. Ilmu mengangkat status pemiliknya kepada penerus tradisi kehidupan dirintis nabi, iaitu taraf dambaan setiap Muslim yang memahami konsep serta hierarki insan.

Ilmu dapat berfungsi sebagai teras kekuatan budaya dan kualiti hidup bermasyarakat. Ayat Iqra’ mengandungi makna amat utama dalam keilmuan apabila mengaitkannya dengan bismi Rabbik (bacalah dengan nama Tuhanmu).

Kaitan langsung pencarian ilmu dengan nama Tuhan atau kerana-Nya bermakna ilmu dan penghasilan tamadun dalam lingkungan Islam, mestilah dihasil dan dibentuk berasaskan nama dan kerana Allah SWT.

Islam tidak pernah memberi kebenaran kepada sesiapa pun mencari ilmu dan membentuk tamadun atas nama peribadi, bertujuan kebendaan, pemerintah, tanah air atau masyarakat tertentu.

Apabila aktiviti dimulai dengan nama atau kerana Allah, faedah terhasil daripada ilmu dan tamadun tentunya bersifat amat sejagat yang sudah terangkum faedah untuk peribadi, masyarakat setempat dan antarabangsa, selain bermanfaat kepada alam.

Ilmu dan tamadun dihasilkan menerusi aktiviti keinsanan dimulai dengan nama Allah, tidak terputus hubungannya dengan falsafah dan metafizik Islam, sekali gus perkembangannya bersama dengan falsafah dan metafizik terbabit.

Sifat ilmu dan tamadun sedemikian tidak pernah mencapai autonomi atau kebebasan seperti berlaku kepada ilmu dalam tamadun Barat sejak Renaissance. Di sinilah, garis pemisah mutlak antara tamadun Islam dengan Barat. Tamadun Islam tumbuh dan berkembang mekar dengan nama Allah, sedangkan Barat berkembang semata-mata atas nama ilmu.

Apabila ilmu terkawal di bawah naungan metafizik dan falsafah Islam berteraskan tauhid, tidak akan berlaku penyelewengan baik dalam konsep ilmu, penyelidikan serta perlaksanaannya dalam kehidupan manusia.

Sains yang berkembang dalam rahim tauhid, tidak menimbulkan faham atau falsafah materialisme dan aliran kekufuran serta kehancuran nilai suci dan kerohanian seperti berlaku dalam tamadun Barat moden.

Oleh itu, tidak timbul dalam lingkungan Islam penyelewengan dalam pelaksanaan atau aplikasi ilmu yang boleh membawa kepada pencemaran alam sekitar, selain penciptaan pelbagai jenis senjata dan peralatan yang boleh menjahanamkan manusia dan kemanusiaan.

Justeru, apabila keadaan ilmu sedemikian, konsep dan pelaksanaannya dalam Islam, secara fitrahnya muncul golongan intelektual mewakili konsep dan pelaksanaan ilmu yang sedemikian dalam tamadun Islam.

Mereka ialah hukama memiliki peribadi sejagat yang memanisfestasikan spektrum atau pancaran cahaya akliyah dan rohaniah Islam secara sekali gus serta memahami dasar segala ilmu mengikut paksi tauhid. Sekadar menyebutkan beberapa nama, hukama yang dilahirkan tamadun Islam seperti empat imam mujtahidin yang empat, al-Ghazali, al-Jili, al-Rumi, Ibn Sina dan Ibn Khaldun.

Perspektif Islam

Perlu difahami perspektif Islam menyediakan kefahaman hakikat setinggi mana atau sebanyak mana manusia beroleh ilmu, ia tetap sedikit sahaja berbanding ilmu Allah SWT: “Tiada kamu diberi pengetahuan (al-ilm) melainkan sedikit sahaja.” (Al-Isra’: 85)

Ilmuwan atau hukama yang menyedari dan menghayati hakikat itu, tidak akan angkuh atau sombong dengan ilmu kerana memahami ilmu mereka tidak seberapa. Ia hanya serpihan kecil daripada keluasan dan kehebatan ilmu dimiliki Allah SWT.

Mereka cukup faham ilmu dalam kadar sedikit itu, pemberian Allah SWT. Ilmuwan atau hukama’ yang memiliki tunjangan ilmu sebegini, akan sentiasa bersedia menyumbangkan daya kreatif untuk kepentingan masyarakat dan manusia seluruhnya sebagai tanda kesyukuran terhadap ilmu dikurniakan Allah SWT kepada mereka.

Dalam konteks pengajaran Islam, penerokaan dan penguasaan ilmu amat dituntut supaya disempurnakan setiap individu. Apabila terlaksana, ia tidak hanya mengeluarkan ummah daripada kancah kehinaan, bahkan menabur manfaat kepada alam, sekali gus melahirkan tamadun manusia berkualiti tinggi dengan segala sesuatu bermanfaat berlangsung pada tahap arus perdana dalam masyarakat.

Ia menyerlahkan umat Islam perlu mengharungi cabaran menguasai ilmu dan teknologi yang bukan hanya untuk kepentingan diri sahaja, bahkan kesejahteraan alam ciptaan Allah SWT yang berupaya berkembang dalam kerangka penghasilan ilmu berpaksikan tauhid.

Umat Islam mesti memainkan peranan merubah orientasi dan falsafah pencarian serta penerokaan ilmu daripada bentuk berasaskan tamadun kebendaan Barat yang banyak membawa kehancuran kepada pendekatan dan falsafah diasaskan Islam berpaksi tauhid, sekali gus antara ruang jihad perlu dilaksanakan.

Penulis adalah Penyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X