Khamis, 6 Jun 2019 | 2:27pm
Banduan pelbagai kesalahan mengikuti kelas pengajian Al-Quran di Rumah Ngaji, Penjara Marang baru-baru ini. Kelas Al-Quran bermula seawal 8 pagi hingga 5 petang. Penghuni penjara dapat mendalami ilmu agama dan membaiki akhlak mereka sepanjang tempoh menjalani hukuman. - Foto BERNAMA
Banduan pelbagai kesalahan mengikuti kelas pengajian Al-Quran di Rumah Ngaji, Penjara Marang baru-baru ini. Kelas Al-Quran bermula seawal 8 pagi hingga 5 petang. Penghuni penjara dapat mendalami ilmu agama dan membaiki akhlak mereka sepanjang tempoh menjalani hukuman. - Foto BERNAMA

Hikmah masuk penjara, akhirnya jadi al-hafiz

MARANG: ​​​​​Hikmah di sebalik menjalani hukuman penjara, daripada tidak mengenal huruf dalam al-quran kini bergelar al-hafiz.

Faisal (bukan nama sebenar), yang disabitkan dengan kesalahan melakukan peras ugut dua tahun lalu, mengakui kehidupan sebagai penghuni tirai besi di Penjara Marang banyak mengajarnya mengenali al-Quran dan mendekatkan diri kepada Pencipta.

Lelaki berusia 30 tahun yang pernah menggalas jawatan penting di jabatan kerajaan itu mengakui bahawa sebelum ini banyak menghabiskan masa dengan kegiatan lalai dan lupa tanggungjawab pada agamanya.

“Kehidupan saya sebelum berada di dalam penjara amat berbeza dengan sekarang. Memang saya mempunyai segala-galanya seperti kemewahan, jawatan tinggi serta kuasa tetapi saya jahil, tidak pandai mengaji, saya lupa Allah dan apabila melihat al-Quran tidak pernah terdetik di hati saya untuk cuba membaca, mahupun memahami isi kandungan kalam Allah itu.

“Alhamdulillah di sini (penjara) saya berpeluang mencari diri saya yang sebenar dan mendapat peluang kedua untuk mendalami ilmu agama, belajar tajwid, belajar membaca al-Quran dan dapat mengisi kekosongan hati yang sebelum ini saya tidak temui ketika menjalani hidup bebas di luar sana,” katanya ketika ditemui di Penjara Marang.

Faisal yang dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun empat bulan sejak 2017, kini masih perlu menjalani hukuman berbaki dua tahun lagi sebelum dibebaskan.

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata ini, pada tempoh awal di penjara, dia tidak pandai membaca al-Quran malah tidak mengenali huruf jawi. Namun, di Rumah Mengaji itulah dia diajar membaca sehingga kini mampu menghafal lima juzuk al-Quran dalam tempoh dua tahun.

Walaupun pada peringkat awal agar sukar baginya untuk menanam perasaan cinta kepada kalam Allah itu, namun berbekal tekad untuk berubah dia memaksa dirinya untuk belajar, malah hasil bantuan dan tunjuk ajar ustaz di penjara, mengaji menjadi amalan setiap hari.

Seorang lagi rakan sekelasnya Hanif, 26, (bukan nama sebenar) berkata, belajar al-Quran ialah impian yang disembunyikan ketika dia belum dipenjarakan tetapi malu dan segan dengan keadaan sekeliling.

Katanya, suasana berubah apabila dimasukkan ke penjara April tahun lalu, berikutan kesalahan penyalahgunaan dadah, samun dan memeras ugut.

“Dulu saya ingin belajar al-Quran tapi dengan umur yang telah dewasa dan persekitaran setempat membuatkan keinginan terkubur begitu sahaja. Lagi pun saya malu untuk belajar kerana saya terbabit dengan pelbagai masalah sosial.

“Apabila saya dimasukkan ke sini (penjara) saya memohon untuk masuk ke Rumah Mengaji agar dapat mengejar impian untuk belajar agama. Di sini tiada istilah malu untuk belajar kerana kami diajar untuk saling membantu dan memberi sokongan moral sesama kami,” katanya.

Tambahnya, di Rumah Mengaji mereka diajar pelbagai ilmu agama termasuklah bertadarus dan hafazan al-Quran, malah bermula daripada membaca iqra’, kini beliau sudah mampu menghafaz.

Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Terengganu, Ahmad Saidi Hamzah berkata, melalui pembelajaran di Rumah Mengaji, penghuni Penjara Marang dapat mendalami ilmu agama dan membaiki akhlak mereka sepanjang tempoh menjalani hukuman.

“Program rumah mengaji ini kesinambungan program pembangunan Islam yang daripada sini kami akan mencungkil bakat banduan dan bagi mereka yang berkebolehan akan dipilih menyertai program hafazan yang berlangsung di luar penjara,” katanya.

Beliau berkata, kini seramai 30 hingga 35 banduan ditempatkan di Rumah Mengaji dan perlu mengikuti kelas al-Quran dari 8 pagi hingga 5 petang.

Menurut Ahmad Saidi, di penjara itu banduan akan diberi pendedahan dan pengisian agama oleh ustaz daripada Jabatan Agama Islam dan bagi banduan beragama lain akan diajar oleh guru agama masing-masing melalui pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang bekerjasama dengan Penjara Marang. - BERNAMA

Berita Harian X