Rabu, 28 Ogos 2019 | 7:01am
Pemimpin yang adil faktor perpaduan rakyat berbilang kaum terus kukuh sepanjang masa.- Foto hiasan

Ketua adil asas kekuatan ummah

Kekuatan ummah boleh dicapai menerusi kepemimpinan adil yang bertunjangkan agama Islam.

Antara dasar digariskan Imam Al-Ghazali mengenai keadilan bagi seseorang pemimpin adalah mengenali nilai kuasa kerana ia boleh membawa kebahagiaan dunia dan akhirat.

Menurut Imam al-Ghazali, seseorang pemimpin Islam itu tidak memimpin sesuka hati sebaliknya perlu mendapatkan nasihat dan pandangan ulama dalam memikul tanggungjawab digalas.

Malah pemimpin itu semestinya tidak membiarkan kejahatan berlalu begitu sahaja, tanpa sebarang langkah penyelesaian, pada masa sama perlu menjauhkan sifat takbur dan sombong serta menjatuhkan hukuman setimpal kesalahan.

Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi, berkata kepemimpinan yang digariskan dalam Islam memiliki hikmah merapatkan hubungan sesama Islam dan tidak berpecah-belah kerana kesepaduan ummah adalah tunjang kekuatan.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Muslim adalah bersaudara sesama mereka, tidak seharusnya mereka menzalimi mereka atau menyerahkan mereka kepada kezaliman.” (HR Bukhari)

“Rasulullah SAW banyak kali menyatakan umat Islam perlu bersatu hati atas nama Islam kerana kekuatan, sokongan dan dorongan itu hanya diperoleh menerusi umat Islam yang bersatu padu. Tanpa elemen itu umat Islam akan menjadi lemah dan inilah peranan yang perlu dimainkan oleh pemimpin,” katanya.

Ahmad Sanusi berkata, apa yang membinasakan ummah apabila pemimpin mengutamakan kelompok mereka hingga bukan saja menyebabkan tidak berlaku adil, apatah lagi hingga membelakangi agama,” katanya.

Perkara ini dijelaskan Rasulullah yang bersabda: “Sesungguhnya umat sebelum kamu binasa kerana apabila pencuri dalam kalangan orang mulia (berkedudukan), kamu tidak mengenakan hukuman ke atas mereka, tetapi apabila rakyat lemah melakukan kesalahan, kamu hukum mereka.”


Dr Ahmad Sanusi Azmi, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Pemimpin beriman tidak boleh membelakangkan keadilan semata-mata kerana kebencian terhadap individu, kaum ataupun bangsa sebaliknya berurusan dengan orang ramai atau rakyat secara adil dan saksama tanpa mengira bangsa, warna kulit, keturunan atau agama.

Ahmad Sanusi berkata, sifat pemimpin zalim dan tamak boleh merosakkan diri Muslim ibarat api dalam sekam, sekali gus membinasakan rakyat pada jangka masa panjang.

Sabda Rasulullah SAW: “Jauhilah sifat kedekut, kerana sesungguhnya umat terdahulu binasa kerana sifat ini menghasut mereka untuk menipu, lalu mereka menipu. Sifat ini mendorong mereka melakukan kezaliman, lalu mereka bersifat zalim.” (HR Muslim)

Ahmad Sanusi berkata, pemimpin jujur akan berusaha sedaya upaya untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan sentiasa berusaha menggemblengkan tenaga dan fikiran untuk kesejahteraan rakyat.

Realitinya pemimpin berperanan besar dalam memupuk perpaduan rakyat atas nama Islam. Tanpanya, umat Islam akan menjadi seperti buih di lautan yang mudah diperkotak-katikkan dan tidak dihargai oleh orang kafir yang akan menguasai mereka atas nama kuasa dunia.

Thauban RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Akan tiba masanya bangsa-bangsa mengerumuni kalian seperti orang yang mengerumuni hidangan makanan.” Lalu, seseorang bertanya: “Apakah kita ketika itu dalam kalangan golongan sedikit?” Baginda menjawab: “Bahkan kalian ramai tetapi lemah seperti buih di lautan. Sungguh Allah mencabut rasa takut daripada dada musuh kalian dan Allah menanam al-wahn dalam jiwa kalian.” Lalu seseorang bertanya: “Apakah itu al-wahn?” Baginda menjawab: “Cinta akan dunia dan takut kepada kematian.” (HR Ahmad, Baihaqi dan Abu Daud).

Berita Harian X