Sabtu, 31 Ogos 2019 | 7:29am
Majoriti ulama berpandangan Islam menganjurkan cinta tanah air berdasarkan sirah Nabi SAW dan sahabat. Gambar hiasan. - Foto Asyraf Hamzah

Cintakan tanah air dituntut agama

PERKATAAN cinta atau kasih-sayang dalam bahasa Arab mempunyai beberapa kalimah seperti yang sering ditemui dalam al-Quran atau hadis, iaitu hub, mahabbah, wudd (atau mawaddah) dan rahmah.

Kalimah ini walaupun jika diterjemahkan membawa makna hampir sama, ia digunakan dalam konteks berbeza dan mempunyai martabat tertentu atau merujuk kekuatan cinta berbeza-beza.

Menariknya dalam al-Quran, kita tidak akan temui ungkapan digunakan untuk menunjukkan berlawanan dengan kalimah cinta, iaitu secara khususnya kalimah benci. Contohnya, seperti ungkapan ‘Aku (Allah) membenci’ atau ‘Kami (Allah) membenci sesuatu atau seseorang.’

Walaupun pada hakikatnya Allah SWT tidak menyukai dan membenci sesuatu tindakan atau perilaku seseorang, ungkapan benci tidak digunakan, sebaliknya Allah SWT mengguna ungkapan ‘tidak menyukai’ seperti banyak ditemui ayat berbunyi ‘inna Allaha la yuhibbu’ bermaksud ‘sesungguhnya Allah tidak menyukai atau mencintai.’

Begitulah indah dan tinggi kasih sayang Allah SWT kepada makhluk-Nya, hingga kalimah ‘benci’ langsung tidak digunakan untuk merujuk sifat-Nya dalam al-Quran, walaupun terhadap manusia yang tidak taat serta melakukan maksiat dan penderhakaan.

Kalimah ‘rahmah’ atau sering disebut sebagai rahmat biasanya merujuk kepada cinta dan kasih sayang paling umum, yang biasanya melata kepada semua makhluk sama ada manusia mahupun binatang.

Penulis tidak bermaksud membahaskan satu persatu perkataan bahasa Arab yang bermakna cinta, cuma menunjukkan beberapa kalimah membawa maksud itu dalam perbendaharaan kata bahasa Arab, sekali gus melambangkan betapa Allah SWT amat menyayangi makhluknya dan Islam ialah agama kasih sayang.

Inilah sifat fitrah tabii manusia, iaitu mempunyai perasaan cinta. Seorang lelaki mempunyai perasaan cinta kepada wanita, begitu juga sebaliknya. Ibu bapa pula mencintai anak yang turut mempunyai perasaan sama.

Adapun kecintaan paling tinggi dan agung sekali dalam Islam sudah pasti kepada Allah SWT.

Namun, kecintaan kepada Allah SWT perlu melalui mengikuti perintah Rasul-Nya seperti firman Allah SWT: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika benar kamu cintakan Allah maka ikutilah aku (Rasulullah SAW), nescaya Allah akan mencintai kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Ali Imran: 31)

Seterusnya perintah agar mencintai Baginda SAW seperti disebut dalam hadis diriwayatkan Anas Ibnu Malik RA: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anak, bapa dan sekalian manusia keseluruhannya.”

Allah SWT juga menjadikan sifat fitrah manusia untuk saling berkasih sayang seperti firman-Nya : “Dan antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum berfikir.” (Al-Rum: 21)

Dalam pelbagai rupa bentuk cinta itu, ada satu lagi cinta, iaitu cinta kepada tanah air atau disebut Hubbul Watan.

Segelintir ulama menganggap kecintaan kepada negara itu hanya sifat tabiat insani semata-mata, seperti kecintaan kepada hal lain yang bersifat duniawi, sekali gus bukan sebahagian tuntutan agama.

Bagaimanapun, majoriti ulama sama ada silam mahupun kontemporari menganggap sebaliknya, iaitu ia anjuran ajaran Islam berdasarkan pengalaman Nabi SAW dan sahabat, walaupun tiada dalil khusus menuntut agar seseorang mencintai tanah air.

Dalam masyarakat Arab, ada kata-kata masyhur ‘hubbul wathan minal iman’ atau mencintai tanah air sebahagian daripada iman, hingga ada mendakwa ia daripada Rasulullah SAW.

Namun, selepas diselidiki dan diperhalusi secara teliti, ramai ulama hadis berpandangan sebaliknya.

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, ulama yang mensyarahkan Sahih al-Bukhari dengan kitabnya, Fathul Bari menyebut, walaupun kata-kata itu tidak ditemukan sumbernya daripada hadis Nabi SAW, ia sahih daripada segi maknanya kerana diamalkan Baginda ketika hayat.

Imam al-Sakhawi dan al-Ajluni juga berpandangan sama kerana walaupun belum ditemukan sumber hadisnya, mencintai tanah air sudah diamalkan Rasulullah SAW dan sahabat Baginda.

Rasulullah SAW juga pernah berdoa: “Ya Allah, jadikan kami mencintai Madinah seperti cinta kami kepada Makkah atau melebihi cinta kami pada Makkah.” (HR Bukhari).

Diriwayatkan juga apabila Nabi SAW pulang ke Madinah daripada musafir, Baginda akan mempercepat perjalanannya menuju Madinah, kerana kecintaan dan kerinduan terhadap tanah airnya dan ingin sampai cepat ke kota itu.

Banyak juga dalil lain menunjukkan mencintai tanah air digalakkan dalam Islam. Ini dapat dilihat daripada hadis ketika Nabi SAW diperintahkan berhijrah ke Madinah dan meninggalkan Makkah, Baginda menoleh ke Makkah seraya bersabda: “Demi Allah engkau (yakni Makkah) adalah sebaik-baik tanah dan tanah paling dicintai Allah SWT. Seandainya aku tidak diusir keluar dari engkau, nescaya aku tidak akan keluar.”

Walaupun ada sesetengah minoriti ulama melihat hadis ini hanya merujuk kelebihan bumi Makkah (fadl al-Makkah) dan Madinah semata-mata serta bukan daripada aspek tuntutan kecintaan kepada tanah air, majoriti ulama masih berpandangan ia masih boleh diqiyaskan kepada tempat lain yang menjadi tanah air seseorang.

Ini berdasarkan amalan Nabi Muhammad SAW dan Sahabat RA yang jelas menunjukkan mencintai negara ialah sifat semula jadi yang ada dalam diri manusia dan sangat dianjurkan dalam Islam.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan.

* Penulis ialah Felo Kanan, Pusat Kajian Shariah, Undang-Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X