Ahad, 3 November 2019 | 3:56pm
Program Street Dakwah dan Outreach (Temuseru) Komuniti antara pendekatan dakwah bersepadu dalam mengukuhkan institusi keluarga dan masyarakat. Gambar hiasan. - Foto Luqman Hakim Zubir

Tangani gejala sosial melalui pendekatan bersepadu

MAJLIS Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) sepanjang 50 tahun penubuhannya (1968-2018), berperanan meluaskan program nilai murni dan sahsiah Islamiah.

Ia bertujuan menangani gejala sosial dan mengukuhkan institusi keluarga serta kejiranan melalui pendidikan dan kemahiran keibubapaan berkonsepkan tarbiah Islamiah.

Antara faktor gejala sosial ialah pembangunan tidak seimbang antara material dengan fizikal, pembangunan kerohanian dan kemanusiaan, selain pengaruh persekitaran dan aliran budaya kebebasan.

Kesemua ini adalah impak modenisasi dan urbanisasi yang meminggirkan nilai agama serta moral, selain masalah kekeluargaan dan kelemahan pendidikan agama.

Pembangunan masyarakat tidak seimbang yang mengambil berat kebendaan dan mengenepikan kerohanian serta akhlak, akan meruntuhkan institusi sosial. Ia membuka ruang gejala sosial seperti penagihan dadah dan alkohol, kehamilan remaja luar nikah, pembuangan bayi dan gaya hidup songsang.

Selari Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan, masyarakat Islam perlu menghayati Islam sebagai tunjang kehidupan dan menjadikannya satu-satunya cara hidup dan peradaban komprehensif serta bersepadu mengimbangi keperluan dunia dengan akhirat.

Dalam aspek pentadbiran, Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam diperkenalkan pada 1985 cerminan keseriusan kerajaan, diikuti Dasar Pembangunan Nasional (1991); Dasar Sosial Negara (2003) dan Pelan Integriti Nasional (2004). Peranan agensi agama diutamakan, bermula penubuhan kumpulan kerja teknikal agama, Pasukan Petugas Khas Agama Menangani Gejala Sosial (PPKAMGS) pada 1998.

MKI memastikan gejala sosial dalam umat Islam dapat dicegah dengan menumpukan pengukuhan institusi kekeluargaan. Mesyuarat MKI Ke-63 pada 2017, menerima syor model inisiatif membendung fenomena Lesbian, Gay, Biseksual dan Transegender (LGBT) di negara ini.

Antaranya, pelaksanaan program pendidikan dan advokasi berkaitan isu LGBT serta pengukuhan dan penerusan program mukhayyam dan susulan kepada komuniti LGBT beragama Islam.

MKI sentiasa memandu agensi agama pada peringkat Persekutuan dan negeri untuk memperkasa program kekeluargaan dan menangani gejala sosial. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan jabatan agama Islam negeri terus aktif dalam pengukuhan institusi kekeluargaan, meningkatkan kemahiran keibubapaan, menangani gejala sosial dan penyelesaiannya.

Ia menurut perspektif agama melalui kaedah seperti psikospiritual Islam, ‘ilaj syar’ie dan kaunseling syar’ie yang dilaksanakan melalui lima pendekatan pendidikan, dakwah bersepadu, kempen pencegahan, kaunseling syar’ie dan bimbingan.

Antara program menerusi pendekatan pendidikan ialah Forum Perdana Hal Ehwal Islam, Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA), Program MyInsaniah (KAFA Menengah), Program Takmir Masjid, Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) dan Modul Rawatan Untuk Golongan Kecelaruan Gaya Hidup (Lesbian dan Gay).

Dalam konteks pendekatan dakwah bersepadu, ia membabitkan Himpunan Dakwah Belia Islam, Program RAMAH, Food Bank, Street Dakwah dan Outreach (Temuseru) Komuniti.

Program melalui kempen pencegahan seperti Kempen Anda Bijak Jauhi Zina, Simposium Media Baharu, Seminar Rumahku Syurgaku dan Seminar Rahmah Menyantuni Ummah.

Pendekatan kaunseling syar’ie merangkumi Manual Kaunseling Syari’e, Manual Islam dan HIV, Manual Islam dan Mak Nyah, Manual Sukarelawan Sosial Islam dan penubuhan KSK Care Centre.

Pendekatan bimbingan pula Kursus Pemantapan Akhlak (Orang Yang Disyaki dan Orang Kena Tahan), Program Mukhayyam (Bersama Komuniti LGBT yang beragama Islam) dan Program Rakan Setia Komuniti (Bersama Orang Kena Pengawasan Dadah di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan).

Justeru, suatu inisiatif bagi menangani isu sosial dalam kalangan umat Islam dirangka, iaitu Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) diluluskan MKT Ke-66 dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jun 2019 lalu. Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) kali pertama dilaksanakan pada 30 Ogos 2019 dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama).

Pelan ini lebih komprehensif dan bersifat semasa, sekali gus mekanisme menangani gejala sosial masyarakat Islam dibangunkan bersama majlis agama Islam negeri (MAIN), jabatan agama Islam negeri (JAIN), agensi dan kementerian berkaitan, ahli-ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

* Penulis ialah Pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Islam (LEPAI)

Berita Harian X