Sabtu, 9 November 2019 | 7:38pm
Menyemai perasaan cinta kepada Nabi Muhammad SAW perlu bermula dari awal usia, iaitu kanak-kanak dan remaja. Gambar hiasan. - Foto NSTP

Gunakan seni, kartun semai cinta kepada Nabi

MELENTUR buluh biarlah daripada rebung menjadi falsafah penting dalam pendidikan termasuk mewujudkan rasa cinta dan kasih kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Usaha menanam, menyemai dan menyuburkan perasaan itu juga perlu dilakukan dengan kaedah bersesuaian dengan tahap usia mereka.

Imam 1 Masjid Ubudiah, Kampung Sungai Raya, Fazzly Mohamad Yatim. - Foto NSTP

Imam 1 Masjid Ubudiah Kg Sg Raya Bt 9 Cheras, Fazzly Mohamad Yatim, berkata tidak sukar memperkenalkan Nabi Muhammad SAW kepada kanak-kanak kerana ia boleh menggunakan kaedah yang mudah diterima.

Beliau berkata, sifat dan naluri kanak-kanak yang suka kepada hiburan boleh dijadikan manfaat atau kelebihan kepada proses mendedahkan mereka dengan insan istimewa itu.

“Kanak-kanak sukakan hiburan dan boleh menghafal lagu dengan mudah. Oleh itu, kita kembali kepada kesenian untuk memperkenalkan anak kecil dengan Nabi Muhammad SAW.

“Antaranya mengajarkan selawat seperti kita membiasakan mereka dengan lagu kanak-kanak lain. Walaupun mereka belum faham, ia tetap gembira menyanyikan lagu itu,” katanya.

Ini kerana perasaan seronok berselawat apabila dibiasakan akan menimbulkan perasaan ingin tahu dalam hati kanak-kanak.

Ia menyebabkan mereka tertanya-tanya dan kesempatan itu boleh digunakan bagi menerangkan kenapa atau kepada siapa kita berselawat.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi Muhammad SAW; wahai orang beriman bersalawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Al-Ahzab: 56)

Fazzly berkata, persoalan perlu diberi perhatian kini ialah sejauh mana kita menjadikan hiburan sebagai kaedah terbaik untuk menyampaikan maklumat mengenai Nabi Muhammad SAW kepada golongan cilik ini?

Amalan berselawat sudah dipraktikkan dalam masyarakat sejak dulu dengan mengadakan kenduri atau majlis marhaban untuk menyambut dan meraikan kelahiran anak. Gambar hiasan. - Foto NSTP

Beliau berkata, amalan berselawat sudah dipraktikkan dalam masyarakat sejak dulu dengan mengadakan kenduri atau majlis marhaban untuk menyambut dan meraikan kelahiran anak.

Ia menjadi bukti tradisi dan budaya Melayu sangat menekankan keperluan anak dididik dengan selawat kepada Rasulullah SAW sejak kecil lagi.

Malangnya, usaha itu tidak diteruskan apabila meningkat ke alam kanak-kanak, remaja seterusnya dewasa kerana tiada lagi program atau acara berbentuk hiburan dan kesenian berkaitan Rasulullah SAW yang dihasil serta diterbitkan.

“Berapa banyak program kanak-kanak di televisyen yang mengajak kanak-kanak mengenali Nabi Muhammad SAW.

“Sekiranya kita tonton rancangan televisyen popular, ada lagu tetapi bukan selawat kepada Rasulullah SAW,” katanya.

Fazzly menyarankan rancangan kartun popular yang dekat dengan kanak-kanak dan diterbitkan penerbit tempatan, menyelit selawat.

“Boleh sahaja kita berdakwah melalui watak itu kerana mesej lebih mudah diterima apabila disampaikan oleh idola mereka,” katanya.

Menyemai perasaan cinta kepada Nabi Muhammad SAW perlu bermula dari awal usia, iaitu kanak-kanak dan remaja. Gambar hiasan. - Foto NSTP

Beliau berkata, seperti ibu bapa yang ingin menjadikan anak sebagai hafiz akan membesarkan mereka dalam suasana al-Quran sejak kecil, begitu jugalah cara menanamkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW.

Cara mudah adalah dengan memperbanyakkan selawat, membimbing anak untuk mengikut sunnah Nabi yang mudah dilakukan dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Menurut Fazzly, Allah SWT menjelaskan dalam firman-Nya sesungguhnya Nabi Muhammad SAW mempunyai akhlak sangat agung dan Baginda diutuskan sebagai rahmat kepada sekalian alam.

Justeru katanya, dengan mengikut akhlak Baginda SAW dalam kehidupan secara tidak langsung akan melahirkan rasa cinta bukan sahaja dalam diri kanak-kanak, juga kepada semua umat Islam.

“Nabi Muhammad SAW mempunyai akhlak paling agung hingga kita perlu menjadikan Baginda suri teladan.

“Sekiranya kita membaca sirah, Baginda sudah menunjukkan akhlak baik sejak kecil lagi,” katanya.

Semasa menyusu dengan ibu susuannya, Halimatun Saadiah, Baginda tidak mengambil hak bayi susuan lain apabila menyusu hanya sebelah kanan sahaja, manakala sebelah lagi untuk adik-beradik susuan lain.

Menyemai perasaan cinta kepada Nabi Muhammad SAW perlu bermula dari awal usia, iaitu kanak-kanak dan remaja. Gambar hiasan. - Foto NSTP

Beliau berkata, mencontohi dan mencintai Rasulullah SAW juga sebagai tanda keimanan kerana Baginda bersabda: Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga cintanya kepadaku melebihi cintanya kepada anaknya, bapanya dan sekalian manusia. (HR Muslim)

Fazzly berkata, apabila kanak-kanak tidak didedahkan dengan personaliti Rasulullah SAW, mereka akan nampak watak dibiasakan kepada mereka hingga cenderung memilih kartun atau artis sebagai idola.

“Jika ditanya memang jarang sekali kanak-kanak hendak menyebut Nabi SAW sebagai idola kerana tidak diasuh dengan sirah.

“Bagaimanapun, jika tanya watak kartun atau adiwira yang lain, cepat sahaja mereka menjawabnya,” katanya.

Berita Harian X